fbpx

Mangsa langgar lari rayu bantuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hasnah (kiri) membantu Nor Hasmidar yang terbaring ketika ditemui di Pasir Belanda, Teluk Kumbar di Balik Pulau baru-baru ini.

BALIK PULAU – Seorang wanita terpaksa menanggung derita angkara kesalahan orang lain apabila hanya mampu terbaring selepas menjadi mangsa langgar lari hingga tidak berdaya memberikan kasih sayang kepada anak tunggalnya sejak sembilan tahun lalu.

Nor Hasmidar Tahir, 36, me­ngalami masalah saraf tunjang selepas tragedi yang berlaku ketika dia menunggang motosikal bersama ibunya, Hasnah Ali, 68, pada 30 Ogos 2013.

Katanya, dia berharap akan dapat bangkit semula untuk meneruskan kehidupan bagi membolehkan dia memberikan kasih sayang kepada anaknya, Muhammad Zul Haikal Abdul Rahim, 10, suatu hari nanti.

“Bagaimanapun, pembedahan untuk mengeluarkan besi pada tulang belakang terlalu tinggi mencecah RM25,000. Pakar hospital kata saya boleh kembali berjalan jika besi itu dikeluarkan.

“Manalah saya ada duit seba­nyak itu kerana semuanya telah digunakan untuk sesi rawatan dan mengupah 22 tukang urut tradisional,” katanya ketika ditemui di Pasir Belanda, Teluk Kumbar di sini baru-baru ini.

Mengimbau semula kejadian itu, Nor Hasmidar, berkata, kejadian yang menyebabkan dia lumpuh dari pinggang ke bawah pada pukul 11 pagi di jalan lama Balik Pulau ke arah Teluk Kumbar itu berlaku terlalu pantas.

Tambahnya, ketika itu dia dalam perjalanan pulang dari pasar awam di sini.

“Ketika itu kami berhenti di bahu jalan kerana mata saya dimasuki habuk. Ketika saya sedang mengusap mata, tiba-tiba sebuah kereta merempuh kami dan saya terpelanting ke dalam longkang, manakala ibu pengsan di tengah jalan,” katanya.

Ujar bekas pembantu penyelia pasar raya itu, rempuhan tersebut mengakibatkan dia dirawat selama sebulan di Hospital Pulau Pinang kerana mengalami patah rahang kanan dan tulang belakang.

“Saya tidak dapat menguruskan anak seperti ibu yang lain. Saya hanya mengharapkan bantuan suami dan ibu untuk mandi, makan sehinggalah menyalin pakaian serta lampin pakai buang,” katanya.

Nor Hasmidar berkata, dia hanya menerima bayaran faedah bulanan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial sebanyak RM475 sebulan, namun ia masih tidak mencukupi.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Nor Hasmidar di talian 013-592 2786 atau menyalurkannya ke akaun Maybank Nor Hasmidar bernombor 157139993215.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI