KUALA TERENGGANU – Kelantan FC kembali bersaing dengan Johor Darul Ta’zim II (JDT) di persada Liga Premier apabila menewaskan Terengganu FC II (TFC II) 1-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini sebentar tadi.
Skuad The Red Warriors memperolehi kemenangan berharga itu menerusi jaringan tunggal ketua pasukan, Nurshamil Abd. Ghani pada minit ke-29.
Pasukan pelawat tersebut kini mengutip 18 mata bersama pendahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT) II dan berada landasan tepat dalam misi kembali ke Liga Super 2023.
Kelantan bagaimanapun terlebih dahulu diasak tuan rumah menerusi Zueasyraf Zulkiefle (m-11) serta percubaan lencong Amirul Syazwan Nor Azmi (m-26) yang tepat ke dakapan penjaga golnya, Nik Mohd. Amin Ahmad.
Begitupun, skuad The Red Warriors bijak menghukum kelekaan tuan rumah dengan
Nurshamil menyambut hantaran Natanael Ringgo sebelum melakukan voli sempurna dari dalam kotak penalti bagi meraih gol kemenangan.
TFC II terus ditimpa malang terpaksa bermain dengan 10 pemain setelah Argzim Redzovic diarahkan keluar padang pada minit ke-36 gara-gara kekasaran ke atas Ringgo.
Kelebihan itu digunakan Kelantan untuk menggandakan serangan namun Nixon Guylherme Rocha (m-53) dan Muhd. Farhan Roslan (m-57) mensia-siakan peluang satu lawan satu berdepan penjaga gol.
TFC II berpeluang mengikat kedudukan malangnya sepakan leret Wan Mohd. Fazli Wan Ghazali dikeluarkan Ghaffar Abdul Rahman di atas garisan gol pada minit ke-80. – KOSMO! ONLINE
















