fbpx
Terpancar kegembiraan pada wajah pemancing yang berjaya menaikkan ikan yang banyak ketika memancing di Tukun Perak.

Tukun Perak banyak ikan saiz mega

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUKUN Perak yang terletak berhampiran sempadan perairan Indonesia-Malaysia di Kedah menjadi tumpuan pemancing tegar kerana mereka jarang pulang tangan kosong jika ke sana.

Ia diakui oleh seorang pemancing tegar yang juga pengusaha perkhidmatan bot memancing, Ahmad Latifi Yaacob yang mahir dengan selok-belok lubuk pelbagai jenis ikan bersaiz mega di situ.

Jarak perjalanan ke Tukun Perak adalah sekitar empat hingga lima jam menaiki bot dari Jeti Pekan Baru, Sungai Petani, Kedah.

Ahmad Latifi yang tinggal di Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang berkata, Tukun Perak merupakan lubuk terbaik memancing ikan gred A seperti jenahak, siakap merah, gerepoh (GT), tuna dan kerapu memandangkan spesies ikan-ikan di sana bersaiz mega.

“Jika di Pantai Timur, kawasan pelantar minyak merupakan pilihan pemancing untuk memburu ikan-ikan bersaiz mega seperti GT.

“Namun, bagi kawasan Pantai Barat, Tukun Perak adalah lubuk tepat untuk pemancing menguji kemahiran masing-masing bagi mendapatkan ikan-ikan besar dengan berat melebihi 30 kilogram (kg),” katanya kepada K2 baru-baru ini.

Ujarnya, selepas beberapa kali memancing di situ, dia menyedari potensi dan daya tarikan yang ada di Tukun Perak lalu memulakan perniagaan untuk membawa kaki pancing ke sana.

Menurutnya, struktur dasar berbatu dan berkarang di kawasan tersebut juga merupakan cabaran perlu ditempuh para pemancing dalam menjinakkan ikan yang tersangkut di mata kail.

Katanya, ketika ini, skil pemancing teruji apabila ikan cuba lari ke kawasan berkarang dan mereka perlu pantas beraksi untuk menjinakkan ikan yang dikail.

MEMANCING di kawasan laut memberikan tekanan dan kepuasan tersendiri buat pemancing tegar.

“Rekod ikan terbesar yang pernah dinaikkan pemancing di perairan Tukun Perak adalah seekor ikan GT seberat 34kg dan saya tumpang gembira apabila pemancing dapat menjinakkan ikan bersaiz mega ini,” katanya.

Ujarnya, teknik yang kerap digunakan ketika memancing di Tukun Perak antaranya popping, jigging, casting dan bottom memandangkan teknik itu sesuai untuk memancing di laut dalam.Trip ke Tukun Perak mengambil masa selama tiga hari dua malam di kawasan perairan sedalam antara 80 meter (m) hingga 100m dan selalunya pemancing tidak mengambil masa lama untuk menaikkan ikan pertama di sini.

“Bot yang kami gunakan ke Tukun Perak mampu memuatkan hingga lapan pemancing dan lengkap dengan kemudahan seperti tandas, kelengkapan keselamatan seperti suar, radar satelit dan sebagainya.

“Pemancing juga akan dibantu tekong serta awak-awak yang berpengalaman sepanjang trip ke situ.

“Pemancing akan mengecap kepuasan apabila ikan yang ditangkap daripada spesies terkenal dengan sifat ‘ganas’ sebelum berjaya dinaikkan,” katanya.

Setiap kawasan memancing mempunyai cabaran tersendiri dan bagi Tukun Perak, cuaca adalah cabaran utama yang perlu dihadapi pemancing.

“Jika laut bergelora, kemungkinan ada pemancing mengalami mabuk laut, namun itu semua tidak menjadi halangan.

“Kadang-kadang, cuaca berubah dengan cepat dan pemancing perlu menunggu sehingga laut kembali tenang.

“Mereka biasanya menyambung semula aktiviti memancing keesokan harinya atau hari sama jika keadaan cuaca kembali tenang,” jelasnya.

Ahmad Latifi berkata, memancing di laut dalam memberikan kepuasan tersendiri dan sebab itu, Tukun Perak sentiasa menjadi pilihan para pemancing tegar.

POPULAR