fbpx

Keluarga rindu Soto Sabah air tangan Jahidah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FAUZIAH (kanan) memangku anak saudaranya, Nufail di sisi Jahidah ketika ditemui di rumahnya di Seremban baru-baru ini.

SEREMBAN – Mangsa keganasan rumah tangga, Jahidah Nordin, 43, tidak dapat meneruskan tradisi berhari raya di kampungnya di Keningau, Sabah pada tahun ini selepas terlantar sejak hampir setahun lalu.

Adiknya, Fauziah, 40, berkata, adalah menjadi rutin kakaknya memasak juadah ‘Soto Sabah’ yang menjadi kegemaran mereka setiap kali Hari Raya Aidilfitri.

“Tahun ini, kami beraya di sini (Seremban) kerana menjaga kakak. Adik-beradik yang lain dari Sabah, Melaka dan Singapura juga akan datang beraya di sini.

“Sebelum ini, kami berkumpul di Sabah. Yang paling dirindui sudah tentu ‘Soto Sabah’ air tangan kakak Jahidah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Bandar Sri Sendayan di sini baru-baru ini.

Selain memasak, Jahidah yang merupakan anak sulung daripada tujuh beradik itu juga tidak lokek mengeluarkan wang untuk belanja ahli keluarganya termasuk pemberian hadiah pada setiap hari raya.

Menurut Fauziah, segala kenangan manis itu berubah apabila kakaknya terlantar atas katil sejak Mei tahun lalu.

Di sebalik kejadian itu, raya kali ini tetap memberi makna buat Jahidah dengan kehadiran cahaya mata sulung, J Eshan Nufail yang kini berusia lima bulan.

“Ini tahun pertama kami beraya bersama kerana pada Aidilfitri lepas dia dirawat di Unit Rawatan Rapi, Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ).

“Kalau dengar suara Nufail, kakak akan membuka matanya dan mengalihkan muka ke arah bayinya,” ujarnya.

Mengulas mengenai ­keadaan kesihatan Jahidah, Fauziah memberitahu, luka pada belakang badan dan kakinya semakin baik, malah muka juga kelihatan semakin berseri-seri.

Doktor memaklumkan harapan untuk pulih seperti dahulu tipis kerana otaknya rosak, namun mereka sekeluarga sentiasa memohon berlakunya keajaiban.

Dalam kejadian pada 4 Mei 2021, Jahidah cedera di kepala dengan tengkorak terpaksa dibuang akibat pendarahan.

Pada 17 Jun 2021, suami mang­sa, Rosmaini Abd. Raof mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan kerana memukul iste­rinya yang mengandung sehingga koma.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI