JOHOR BAHRU – Ahli keluarga wanita dipukul sehingga koma oleh suami, Jahidah Nordin@Sylvester, 46, bersyukur dengan keputusan Mahkamah Sesyen di sini hari ini yang menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun kepada Rosmaini Abd. Raof, 41.
Adik Jahidah, Fauziah Nordin, 43, berkata, keputusan itu telah lama dinantikan mereka sekeluarga iaitu sejak kira-kira tiga tahun lalu selepas kejadian berkenaan.
“Alhamdulillah, penat lelah tiga hingga empat tahun menunggu keputusan kes ini terbela buat kak Jahidah.
“Perancangan masa depan adalah untuk teruskan hidup seperti biasa, menjaga kak Jahidah dan juga anaknya yang berstatus orang kurang upaya (OKU),” katanya kepada pemberita ketika ditemukan di pekarangan mahkamah.
Terdahulu, sebelum hukuman dijatuhkan, Fauziah ketika dipanggil memberi kenyataan mewakili keluarga mangsa memberitahu, kakaknya sehingga kini hanya terlantar dan tidak mampu bergerak.
“Kakak saya macam mayat hidup. Kenapa kakak saya diperlakukan macam itu. Kenapa kau belasah kakak aku, aku takkan maafkan kau,” katanya sambil menuding jari ke arah tertuduh yang berada di kandang pesalah.
“Sejak kejadian itu, tertuduh dan juga ahli keluarganya tidak pernah berhubung dan bertanya khabar tentang kakak Jahidah atau anaknya, tiada satu sen bantuan pun diberikan.
“Anaknya kini berstatus OKU dan walaupun sudah berusia tiga tahun, dia masih belum boleh bercakap dan baharu saja boleh berjalan kerana tumbesarannya bermasalah akibat dikandung ketika ibunya koma,” jelasnya..-KOSMO! ONLINE