SEREMBAN – Keluarga mangsa keganasan rumah tangga, Jahidah Nordin, 47, lega apabila pelaku kes itu dihukum penjara 10 tahun, namun pada masa sama menyifatkan hukuman tersebut tidak setimpal dengan derita yang ditanggung mangsa.
Adik Jahidah, Fauziah, 44, berkata, mereka sekeluarga bagaikan ‘hilang satu beban’ selepas Mahkamah Sesyen Johor Bahru menjatuhkan hukuman ke atas bekas abang iparnya, Rosmaini Abd. Raof, 42, bulan lalu.
“Alhamdulillah kami sudah reda selepas mahkamah menjatuhkan hukuman 10 tahun ke atas bekas suami kakak pada 9 Disember lalu.
“Bagai hilang satu beban walaupun hukuman tersebut tidak berbaloi dengan apa yang dilalui kakak (Jahidah) seumur hidup,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.
Fauziah berkata, dia memaklumkan perkembangan perbicaraan dan anak tunggal Jahidah, Eshan Nufail, 3, dari masa ke masa kepada kakaknya yang kini terlantar koma.
“Dia seakan memahami apabila memberikan reaksi muka sedih dan mengalirkan air mata.
“Doktor juga berpesan supaya kami kerap berbual dengan kakak, jadi saya beritahu mengenai keputusan mahkamah baru-baru ini selain perkembangan Nufail.
“Apabila mendengar cerita itu, Jahidah mengalirkan air mata seolah memahami apa yang berlaku,” katanya.
Fauziah berkata, dia sekeluarga reda dengan keadaan Jahidah biarpun wanita itu tidak menunjukkan sebarang perubahan.
Ditanya tentang perkembangan Nufail, Fauziah memberitahu, anak saudaranya yang mempunyai masalah tumbesaran kini sudah boleh berjalan apabila usianya genap tiga tahun pada 30 November lalu.
“Pada hari lahirnya 30 November lalu, saya dapati Nufail sudah boleh berjalan dengan laju, saya juga terkejut melihat perkembangan tersebut.
“Saya dapat membayangkan Jahidah menjadi ibu yang paling gembira menerima berita tersebut, namun tidak mampu bercakap atau memberikan respons,” katanya.
Nufail dilahirkan pada 2021 di Hospital Tuanku Ja’afar di sini secara pembedahan memandangkan keadaan Jahidah yang masih koma.
Fauziah menganggap perubahan Nufail sebagai satu keajaiban dan berita gembira buat mereka sekeluarga.
Sebelum ini, Nufail mengalami masalah perkembangan dan tumbesaran yang dikaitkan dengan keadaan Jahidah yang koma ketika mengandung dan melahirkannya.
“Sebelum ini Nufail cuba bangun dan berjalan beberapa kali, namun kerap terjatuh. Apapun, kami bersyukur akhirnya ada perubahan kepada dirinya.
“Sekarang Nufail makin aktif bila sudah dapat kaki, satu rumah dia berjalan dan pandai panjat katil ibunya,” katanya.
Menurut Fauziah, Nufail memiliki kad orang kelainan upaya (OKU), namun tahap perkembangan kanak-kanak itu akan dipantau oleh doktor dari semasa ke semasa.
“Untuk tahun baharu 2025, saya mengharapkan satu lagi keajaiban buat Nufail supaya dia boleh bercakap. Setakat ini dia faham apa yang kita cakap dan memberi respons, tetapi masih tiada perkataan yang keluar daripada mulutnya,” katanya.
Pada 10 Disember lalu, bekas suami Jahidah yang juga peniaga dijatuhi hukuman penjara selama 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru kerana memukul mangsa sehingga koma.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan Jahidah koma dengan tengkorak terpaksa dibuang akibat pendarahan selepas didakwa dipukul suaminya.
Mangsa dimasukkan ke hospital di Johor Bahru sebelum dipindahkan ke Seremban. Jahidah selamat melahirkan Nufail secara pembedahan pada 30 November 2021. -KOSMO! ONLINE














