fbpx
HATI-HATI dengan pandangan mata seseorang yang penuh hasad dan kebencian kerana ia boleh membawa kemudaratan kepada orang yang dipandang dikenali sebagai penyakit ‘ain. – GAMBAR HIASAN

K2

Penyakit ain runtuhkan rumah tangga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MACAM-MACAM cerita suka duka dalam hubungan suami isteri yang perlu ditempuhi setiap pasangan.

Salah satu daripadanya adalah cerita tentang manusia yang iri hati dan tidak senang dengan kebahagian orang lain, lalu melemparkan pandangan yang penuh hasad dengki menyebabkan merekaterkena penyakit ain.

Itu yang berlaku kepada pasangan suami isteri yang dipaparkan dalam kolum Dari Mahkamah Syariah minggu ini yang sering bertengkar selepas isterinya terkena penyakit tersebut dan akhirnya mereka berpisah.
——————————————————————————————————————————————————————–
ZAMRI (bukan nama sebenar) mengeluh panjang setiap kali mahu memulakan cerita tentang apa yang berlaku dalam rumah tangganya.
Perkahwinan yang dibina dengan bekas isterinya, Wanda (bukan nama sebenar) hanya mampu bertahan selama tujuh tahun.

Lebih menyedihkan, perkahwinan itu bukannya berakhir disebabkan orang ketiga, sebaliknya berakhir akibat penyakit ‘ain.
Penyakit ‘ain dikatakan berpunca daripada pandangan mata yang penuh dengan rasa hasad dengki yang boleh menyebabkan mudarat kepada orang yang dipandangnya.

Malah, terdapat hadis yang menguatkan lagi kebenaran tentang penyakit ‘ain, daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda :
yang bermaksud: “Al-‘ain itu adalah haq (benar). (Riwayat Muslim)

Dalam hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:

Maksudnya: Al-‘Ain itu haq (benar). Jika ada sesuatu yang menjangkaui qadar maka ‘ain lah (yang dapat menjaungkauinya). Jika diminta kepada kamu untuk mandi (untuk penyembuhan), maka mandilah. (Riwayat Muslim)

Bercerita lanjut, anak kelahiran sebuah negeri di selatan tanah air itu berkata, dia mengenali Wanda sejak belajar di universiti dan terus melangsungkan perkahwinan selepas tamat pengajian.

“Bibit cinta antara kami bermula ketika sama-sama menuntut di sebuah universiti yang sama di Korea Selatan dan sekembalinya ke tanah air, kami terus mengikat tali pertunangan selama sebulan sebelum berkahwin pada 2013,” kata Zamri.

Memandangkan boleh dikatakan pasangan romantik, mereka kerap berkongsi foto kemesraan di laman sosial.

Menurut jejaka berusia 35 tahun itu, dia kerap memuat naik foto percutian keluarga mereka, lebih-lebih lagi selepas memiliki dua orang cahaya mata yang comel.

“Saya semakin mencintai Wanda selepas dia melahirkan anak-anak saya kerana dia merupakan ibu yang cukup sempurna buat mereka.

“Setiap kali berkongsi kebahagiaan, saya tidak mempunyai niat lain, selain ingin menunjukkan rasa bertuah dan betapa bersyukurnya saya kerana mempunyai sebuah keluarga yang bahagia,” katanya.

Namun, ternyata kebahagiaan itu tidak menyenangkan hati beberapa pihak apabila keluarga bahagia Zamri telah terkena penyakit ‘ain.

Semuanya bermula pada awal 2019 apabila Zamri dan Wanda kerap bertengkar.

WANDA kerap demam panas selepas terkena penyakit ‘ain, selain kerap bergaduh dengan suaminya kerana ada pihak tidak senang dengan kebahagiaan mereka sekeluarga. – GAMBAR HIASAN

“Lumrah perkahwinan, pasti akan berlaku pertengkaran, namun pada awal 2019, kami kerap bertengkar yang teruk sehingga mengakibatkan tidak bercakap sehingga berbulan lamanya.

“Ia menjadikan saya semakin tertekan kerana kami tidak tahu puncanya, malah setiap kali cuba berbaik, ia akan menambah kepada pertengkaran lain sehingga saya benci melihat wajah isteri sendiri,” katanya.

Malah, dia dan bekas isterinya itu juga kerap demam panas, selain badan mereka rasa lemah serta tidak bersemangat.
Setiap kami dia mendekati Wanda juga, badannya terasa panas, menyebabkan Zamri mula keluar dari rumah dan tidur di hotel.

“Saya sedar apa yang dilakukan itu memburukkan lagi keadaan, namun emosi saya benar-benar tidak stabil dan saya hanya memikirkan tentang perceraian,” kata Zamri.

Masalah rumah tangga mereka dapat dihidu oleh ibu Zamri kerana lelaki itu kerap pulang ke kampung seorang diri dengan memberikan alasan Wanda sibuk dengan kerja.

Zamri akhirnya mengakui bahawa masalah rumah tangganya semakin buruk lalu melafazkan cerai kepada bekas isterinya itu.
Ibu Zamri yang kecewa dengan keputusan anaknya itu kemudian membawa mereka berubat dan mendapati, pasangan itu telah terkena penyakit ‘ain.

“Selepas mengetahui tentang penyakit itu, saya terus tersedar bahawa ia berlaku akibat sikap saya dan Wanda yang terlalu berlebih-lebihan dalam mempamerkan kebahagiaan kami.

“Rupa-rupanya, ada yang kurang senang dengan kebahagiaan kami sehingga menghantar pandangan yang menyebabkan kemudaratan kepada hubungan saya dan Wanda,” kata Zamri kesal.

Kini, dia dan Wanda masih lagi dalam fasa berubat dan Zamri mengakui, dia masih sayangkan isterinya itu serta mahu berbaik semula demi anak-anak.

Dia juga amat menyesal dengan perbuatannya yang berkongsi kebahagiaan secara berlebihan, sekali gus menyebabkan perkahwinan yang dibinanya berantakan.

“Saya telah pun menutup akaun media sosial kerana enggan perkara yang sama berulang,” katanya menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN