fbpx

MCPF bantu baiki premis rosak akibat letupan mercun secara percuma

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Eng Lai (dua kiri) ketika melawat kediaman mangsa yang mengalami kerosakan akibat letupan mercun di tapak pelupusan mercun di Stor Barang Kes, Jalan Sentul Works, hari ini. FOTO AFIQ RAZALI

KUALA LUMPUR – Polis Sentul meminta bantuan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) membuat penilaian bagi mengenal pasti jumlah kerosakan susulan kejadian letupan mercun di stor barang kes di Sentul, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihak MCPF akan menghantar kontraktor bagi membuat kerja-kerja pembaikan yang akan dilakukan secara percuma.

“Setakat ini kita dapati kerosakan hanya melibatkan siling rumah (pecah) dan tingkap cermin pecah di beberapa buah premis kediaman di sekitar stor berkenaan.

“Bantuan daripada MCPF ini amat bermakna kerana kita (polis) tidak mampu untuk memberikan pampasan dalam jumlah yang besar kepada mangsa yang terlibat.

“MCPF juga sentiasa berkolaborasi dengan pihak polis dalam membuat kerja-kerja kebajikan dan ini merupakan satu program tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang amat bermakna buat mereka,” ujarnya kepada pemberita ketika melawat mangsa insiden letupan yang tinggal berdekatan Stor Barang Kes Jalan Sentul Works di sini hari ini.

Pada masa sama, beliau turut menyerahkan wang tunai berjumlah RM3,800 hasil sumbangan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul kepada lapan mangsa termasuk wakil sebuah sekolah.

Jelas beliau lagi, berkenaan anggaran kerugian akibat kejadian letupan itu, ia masih dalam siasatan pihak bomba.

Terdahulu pada Selasa lalu, tiga pekerja pembersihan cedera ringan dalam satu kebakaran yang mengakibatkan letupan mercun sehingga menggegarkan kawasan Sentul.

Dalam kejadian sekitar pukul 6.30 petang, tiga pekerja berkenaan sedang membantu kerja-kerja pembersihan di tapak pelupusan mercun di Stor Barang Kes, Jalan Sentul Works, dekat sini.

Sejumlah 18 buah kereta dan dua buah lori turut terbakar. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI