PASIR PUTEH – Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh akan memberi tumpuan kepada 26 lokasi yang kerap berlaku kemalangan dan kesesakan lalu lintas sepanjang Ops Selamat yang dijalankan selama 10 hari bermula hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Ediansha Endal berkata, pihaknya mula bersiap sedia selepas melihat peningkatan kemasukan kenderaan ke negeri ini melalui sekatan jalan raya jalan raya (SJR) Bukit Yong-Jertih di sini.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan kawasan pusat bandar Pasir Puteh sesak ekoran orang ramai membuat pembelian persediaan hari raya pada saat akhir.
“Berdasarkan siasatan, kilometer (KM) 48 hingga KM 51 Jalan Kota Bharu – Kuala Terengganu atau lebih spesifik antara simpang Wakaf Raja menghala sempadan Bukit Yong merupakan lokasi yang kerap berlaku kemalangan maut di daerah ini.
“Selain itu, KM 31 hingga KM 33 dari Jalan Bukit Abal menghala ke jalan Sungai Kelong juga kawasan ‘blackspot’ yang menuntut pengguna jalan raya memandu secara berhemah dan bertoleransi,” katanya pada akhbar selepas meninjau Ops Selamat di SJR Bukit Yong di sini malam tadi.
Menurut Ediansha, lokasi yang kerap berlaku kesesakan pada musim perayaan di Pasir Puteh antaranya kawasan simpang tiga Sri Aman, Tok Bali, Dalam Kemunting dan Wakaf Lichong. -KOSMO! ONLINE
















