fbpx

Pegang pada janji, belum dengar RTM tiada duit beli konten – PTVM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JUREY LATIFF

PETALING JAYA – Menyambut baik pengumuman Pelawaan Kertas Cadangan (RFP) bagi membekalkan Program Televisyen (TV) Swasta Baharu Tempatan, Luar Negara dan Produk Siap Tempatan untuk siaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) 2023, Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) bagaimanapun mengharapkan keadilan bagi syarikat produksi yang telah terlebih dahulu disenarai pendek.

Presiden PTVM, Datuk Jurey Latiff Rosli berkata, demi menjimatkan masa, pihaknya mencadangkan syarikat yang telah disenarai pendek ketika sesi saringan perolehan (pitching) pada Oktober lalu diumumkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) sebagai pembekal layak menjual hasil penerbitan untuk siaran tahun depan.

“Sebelum ini (tahun lepas) dah dapat perolehan (pitching) fasa 1 melibatkan 200 syarikat dan kemudian, sudah ada senarai pendek untuk diumumkan tahun ini.

“Malangnya, bajet tahun lepas tiada dan tahun ini, diumumkan untuk pitching tahun hadapan. Tapi baru-baru ini, ada kata nak gunakan keputusan pitching tahun lepas.

“Ada juga kenyataan yang keluar bahawa dah buka pun pitching pada 20 April dan RTM meminta kertas kerja baharu. Sebelum ini, kata nak guna yang (pitching) lama (baki) yang dibuat tahun lepas iaitu pada Oktober.

“Kalau pitching baharu dibuat, keputusan mungkin tiga atau empat bulan daripada sekarang. Kalau kata ada 1,000 syarikat, berapa lama masa nak buat pitching?. Banyak proses birokrasi selepas itu yang memakan masa dan sekaligus tidak adil untuk syarikat yang telah disenarai pendek,” katanya kepada Kosmo! Online pada majlis berbuka puasa PTVM di ibu negara baru-baru ini.

Jurey (tengah) dan ahli jawatankuasa PTVM mencadang baki syarikat produksi disenarai pendek ketika saringan perolehan, Oktober lalu diumumkan pembekal yang layak menjual hasil penerbitan untuk siaran tahun depan.

Sehubungan itu, Jurey memaklumkan, tahun lepas ramai sudah bekerja keras dengan berbelanja besar melakukan pitching dan sebagainya namun disebabkan tiada bajet, berlaku perubahan dalam proses tersebut.

“Kami mohon menteri (Tan Sri Annuar Musa) berpegang pada janji sebab memang tidak adil buat produksi yang telah disenarai pendek.

“Kami bukan tuntut benda yang tidak wujud, kami minta menteri lakukan apa yang beliau dah umumkan. Dah keluar modal dan masa, dan dijanjikan bahawa akan diumumkan tahun ini.

“Kalau mereka buka macam pengumuman baru-baru ini, kami kena lalui proses sama dari mulalah macam tahun lepas. Kerajaan kena tengok kembali sebab pitching yang telah  dilakukan melalui proses yang betul.

“Mungkin tahun ini bajet tiada tapi rasanya perolehan atau pitching di RTM sentiasa ada. Dalam sejarah, kita belum dengar lagi RTM tiada duit nak beli konten,” katanya.

Terdahulu, menerusi kenyataan dikeluarkan RTM baru-baru ini, sebanyak 14 kategori program televisyen akan ditawarkan bagi mengisi masa siaran menerusi lima rangkaian saluran berkenaan iaitu TV1, TV2, TV Okey, Berita dan Sukan. Antaranya, membabitkan drama, telefilem, majalah, dokumentari, animasi, travelog, bual bicara, sambung siri, realiti, sukan, candawara, cereka, muzikal dan terbuka.

Sesi saringan pitching juga bakal memberi manfaat kepada hampir 700 syarikat yang berdaftar dengan KKMM. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI