fbpx
Tangkap layar kejadian samun yang tular melibatkan dua tertuduh bulan lalu.

2 lelaki tular rompak wanita depan rumah didakwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Dua lelaki bermotosikal yang tular merompak dua wanita di hadapan sebuah rumah di Bandar Tun Razak bulan lalu didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan rompak berkumpulan menggunakan senjata.

Bagaimanapun kedua-dua lelaki itu Abu Mukhzim Badarul Sham, 29, dan Muhammad Iqbal Ali Bakar, 34, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di depan Hakim Izralizam Sanusi.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan rompak berkumpulan dengan menggunakan senjata terhadap Nor Taibah Taazim, 34, dan Shofiah Hamzah, 77, di hadapan sebuah rumah di Bandar Tun Razak, Cheras, pada 26 Mac lalu.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aiman Azahan mencadangkan jaminan RM15,000 bagi setiap tertuduh.

Bagaimanapun, peguam, Izleen Ismail dan Syah Azlan Abdullah yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jumlah ikat jamin itu dikurangkan atas alasan anak guam mereka tiada pekerjaan tetap serta perlu menyara keluarga.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan, perlu melaporkan diri sekali sebulan di balai polis terdekat.

Tarikh 18 Mei ini ditetapkan sebutan semula kes.– KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN