fbpx
PESAWAT pejuang pelbagai guna J-16 milik China dipamerkan ketika Pameran Penerbangan dan Aeroangkasa Antarabangsa China ke-13 di Guangdong pada 28 September 2021. – AFP

Bajet ketenteraan dunia lebih RM9 trilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

STOCKHOLM, SWEDEN – Laporan baharu  menyebut  bahawa perbelanjaan ketenteraan negara-negara dunia meningkat kepada AS$2.1 trilion (RM9.1 trilion) tahun lalu dengan Amerika Syarikat (AS), China, India, Britain dan Rusia muncul lima negara yang berbelanja paling  terbesar.

Menurut  laman berita Wion News, laporan oleh Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm (SIPRI)  itu mendedahkan bahawa  jumlah perbelanjaan ketenteraan dunia melonjak 0.7 peratus bagi tahun 2021.

Kelima-lima negara yang dinyatakan pula merangkumi 62 peratus daripada jumlah perbelanjaan keseluruhan.

“Meskipun di tengah-tengah kemelesetan ekonomi akibat pandemik Covid-19, perbelanjaan ketenteraan dunia pada tahun lepas telah mencatat rekod tertinggi,” kata Penyelidik Kanan SIPRI, Dr. Diego Lopes da Silva.

Laporan yang sama turut menyatakan bahawa perbelanjaan ketenteraan AS pada 2021 adalah berjumlah AS$801 bilion (RM3.4 trilion), merosot 1.4 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, program penyelidikan dan pembangunan ketenteraan Pentagon meningkat  24 peratus antara 2012 hingga 2021 dengan penekanan diberikan kepada teknologi perang generasi akan datang.

Sementara itu, Rusia telah meningkatkan perbelanjaan ketenteraannya sebanyak 2.9 peratus tahun lalu kepada AS$65.9 bilion (RM286.9 bilion) sebelum memulakan pencerobohan ke atas Ukraine.

SIPRI berkata, ia merupakan tahun ketiga berturut-turut Presiden Vladimir Putin meningkatkan perbelanjaan ketenteraannya.

“Perolehan tinggi daripada  sumber minyak dan gas  membantu Putin meningkatkan perbelanjaan ketenteraan  pada 2021.

“Kremlin telah meningkatkan bajet pertahanan negara, begitu juga seterunya Ukraine. Perbelanjaan ketenteraan Kiev  bertambah 72 peratus sejak Rusia merampas Semenanjung Crimea pada 2014,” kata Pengarah dan Penyelidik Kanan Program Perbelanjaan Senjata dan Ketenteraan SIPRI, Lucie Beraud-Sudreau.

Negara dengan kuasa ekonomi kedua terbesar dunia, China  turut menaikkan bajet ketenteraannya sebanyak 4.7 peratus dengan pentadbiran Presiden Xi Jinping memperuntukkan bajet  kira-kira AS$293 bilion (RM1.2 trilion) pada tahun lalu.

Bahkan, Jepun turut dilaporkan menambah sebanyak  AS$7 bilion (RM30.4 bilion) dalam perbelanjaan ketenteraannya, demikian menurut laporan yang sama.

“Ketegasan China yang semakin meningkat di sekitar Laut China Selatan dan Timur telah menjadi pemacu utama kepada pertambahan perbelanjaan ketenteraan negara-negara seperti Australia dan Jepun,” jelas SIPRI.

India pula membelanjakan sebanyak AS$76.6 bilion (RM333.4 bilion) bagi bidang ketenteraannya pada tahun lepas, bertambah 0.9 peratus berbanding 2020.

Sejak 2012, negara itu telah meningkatkan perbelanjaan ketenteraannya sebanyak 33 peratus, manakala 64 peratus perbelanjaan modal dalam bajet ketenteraan tahun lalu diperuntukkan bagi senjata buatan dalam negara. – Agensi 

 

POPULAR