fbpx

Tindakan tegas terhadap ASP wanita ‘live’ TikTok masa serbuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ayob Khan (kiri) dan tangkap layar 'live' TikTok oleh pegawai wanita tersebut ketika di lokasi serbuan.

KUALA LUMPUR – Tindakan tegas akan diambil terhadap seorang pegawai polis wanita berpangkat Asisten Superintendan (ASP) yang didakwa membuat secara langsung (live) di aplikasi TikTok sewaktu serbuan di sebuah pusat hiburan baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya masih menunggu siasatan lengkap daripada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) berkenaan
pegawai wanita tersebut yang merupakan petugas di JSJN Bukit Aman.

“Perbuatan beliau merakam video secara langsung ketika serbuan memang tidak dibenarkan sama sekali melainkan program secara rasmi di media sosial milik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Video yang memaparkan kandungan dan ucapan peribadi berkenaan PDRM bagi tujuan mempromosi dan menambah pengikut di mana-mana media sosial termasuk TikTok jelas melanggar
prosedur operasi standard (SOP) dan Pekeliling Tatacara Penggunaan Media Sosial yang telah dikeluarkan PDRM pada Ogos 2020, Mei 2014 dan Februari 2021,” ujarnya ketika mengulas perbuatan pegawai tersebut di sidang akhbar di Menara 1, Bukit Aman dekat sini hari ini.

Tegas beliau, pihaknya tidak akan bertolak ansur dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana anggota atau pegawai polis yang melanggar tatacara dan SOP yang telah ditetapkan ini.

“Saya akan ambil tindakan tegas tanpa pilih bulu tak kira sama seseorang itu berpangkat pegawai atau anggota, tindakan sama sahaja,” katanya.

Terdahulu, video berdurasi seminit 38 saat tular di media sosial memaparkan seorang pegawai polis wanita berpangkat ASP membuat rakaman video secara langsung menerusi TikTok semasa melakukan serbuan dipercayai di sebuah pusat hiburan bersama pegawai dan anggota polis lain.

Bagaimanapun video berkenaan mendapat kecaman orang ramai yang mempersoalkan perbuatan pegawai tersebut yang membuat secara langsung ketika bertugas seolah-olah mahu mengejar glamor dan populariti.

Justeru itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain berkata, pihaknya sudah mengarahkan JIPS untuk mengambil tindakan tegas terhadap pegawai terbabit termasuk memanggilnya untuk merakam kenyataan berhubung tindakannya membuat siaran secara langsung semasa operasi. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI