fbpx

Terlantar selepas motosikal rempuh lembu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SITI ROHAYU membantu Mohd. Azhar yang terlantar di rumahnya di Taman Kerayong Indah di Bera baru-baru ini.

BERA – Seorang bekas tentera yang dahulunya sihat dan aktif kini hanya mampu terlantar selepas terlibat dalam kemalangan apabila motosikal yang dia tunggang merempuh lembu yang berkeliaran di tengah jalan di sekitar Kerayong di sini Disember tahun lalu.

Mohd. Azhar Abd. Talib, 50, mengalami retak pada bahagian tengkuk, patah tangan kiri dan lemah kaki kesan daripada kemalangan bersama isterinya, Siti Rohayu Abdullah, 44.

Kata mekanik itu, Ramadan dan Syawal kali ini tidak lagi semeriah dahulu apabila dia tidak dapat bergerak kerana kecede­raan teruk yang dialaminya.

“Nahas yang tidak diduga itu mengakibatkan keluarga kami hilang punca pendapatan dan bergantung sepenuhnya kepada duit pencen saya.

“Saya hendak cakap pun susah sebab terlampau banyak kesan akibat kemalangan itu tetapi saya bersyukur kerana isteri saya selamat dan tiada kecederaan serius,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Kerayong Indah di sini baru-baru ini.

Terdahulu, Mohd. Azhar menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guai, Datuk Norolazali Sulaiman yang menghulurkan sedikit bantuan kepadanya.

Menurut Mohd. Azhar, selain duit pencen, anak-anak yang sudah bekerja juga ada membantunya untuk membeli barangan keperluan lain.

Tambahnya, ketika ini dia memerlukan perbelanjaan lebih RM500 sebulan bagi membeli susu khas dan lampin pakai buang selain rawatan berkala di hospital.

“Saya tidak boleh duduk lama kerana sakit pinggang dan perlu dibantu untuk melakukan pergerakan bagi urusan harian,” katanya.

Sementara itu, Siti Rohayu berkata, kejadian itu berlaku ketika mereka hendak pergi ke bank untuk mengeluarkan wang sebagai persediaan menghadapi musim banjir.

“Ketika itu hujan lebat, kami sudah cukup berhati-hati tetapi malangnya sekumpulan lembu tiba-tiba keluar dari kawasan kebun dan suami tak sempat hendak membrek lalu menghentam haiwan berkenaan,” ceritanya lagi.

Menurut Siti Rohayu, dia yang membonceng tercampak, manakala suaminya terperosok di bawah lembu-lembu yang dirempuh itu.

“Sebab itulah banyak kece­deraan yang terpaksa ditanggung suami,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan ke akaun BSN 06500 29 89792249-1 (Mohd Azhar bin Abd Talib) atau menghubungi talian 019-6897016. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI