fbpx

Peluang kedua Amir dalam perniagaan emas menjadi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amir bersama keluarga di dalam kedai emas miiliknya di Kulim, Kedah baru-baru ini.

KULIM – Menutup atau menghentikan sesebuah operasi perniagaan kerana masalah kewangan atau pengurusan boleh disifatkan sebagai satu ‘mimpi ngeri’ bagi mereka yang bergelar usahawan.

Itu antara situasi getir yang pernah dilalui dan terpaksa ditelan anak muda kelahiran Selangor ini kira-kira enam tahun lalu.

Berkongsi cerita, pemilik kedai Emas Amir di sini , Muhammad Amir Jumri berkata, beliau terpaksa menutup keseluruhan operasi kedai emas yang diusahakan sejak tahun 2014 atas beberapa sebab tertentu.

Katanya, pada masa itu tiada pilihan lain yang boleh digunakannya selain nekad menutup operasi kedai emas miliknya itu yang hanya sempat dua tahun beroperasi.

“Kalau ikutkan minat berniaga itu memang ada dalam diri sejak di universiti lagi. Sebelum berniaga emas, saya pernah menjual perak dalam bentuk syiling dan bar secara online.

“Jadi lama-kelamaan, minat untuk menjual emas semakin bertambah didorong pula dengan nilai jualan dan beliannya yang jauh lebih tinggi berbanding perak,” katanya.

Jelas Muhammad Amir, minat dan impian untuk kembali bangkit dalam cabang bisnes itu juga membuatkan beliau mengumpul modal khususnya daripada tabungan sendiri untuk membuka sebuah kedai emas pada tahun 2014.

Perusahaan itu berjaya dibuka dengan mengoperasikan sebuah rumah kedai di lokasi strategik di sini.

“Pada awal fasa perniagaan, semuanya baik-baik sahaja, tetapi bila sudah masuk tahun kedua, saya terpaksa perlahankan operasi disebabkan kekangan beberapa faktor tertentu.

“Saya cuba untuk bertahan, tetapi tewas juga dan akhirnya terpaksa nekad untuk menutup sementara perniagaan walaupun berat hati ini,” ujarnya.

Selepas perniagaan ditutup, bermacam-macam kerja terpaksa dilakukan oleh anak muda ini demi kelangsungan hidup tetapi jauh disudut hatinya mahu kembali berniaga emas.

Lama bertahan tanpa pernah wujud istilah putus asa dalam kamus hidupnya, sekali lagi Muhammad Amir diberi ‘peluang kedua’ untuk terus mengemudi perniagaan emas yang diminatinya.

Terang bapa kepada seorang anak itu, operasi kedai emasnya kembali dibuka sekitar Jun 2020 ketika seluruh dunia sedang dibadai pandemik maut tidak diundang, Covid-19.

“Syukur, walaupun negara pada ketika itu sedang dilanda pandemik, saya dapat membuka semula perniagaan yang dijenamakan semula kepada Emas Amir.

“Ketika itu, saya hanya terpaksa menghadapi dan berdepan dengan sekali sahaja Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu pada tahun berikutnya.

“Masa awal-awal buka kedai iaitu selepas PKP pertama tamat, kedai saya dapat beroperasi secara normal dan mendapat sambutan memberangsangkan daripada pelanggan sedia ada dan baharu.

“Kebenaran pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga secara tidak langsung mendorong ramai peminat barangan kemas untuk membeli sekali gus hasil jualan dapat menampung sedikit kerugian yang dialami ketika PKP kedua,” tuturnya.

Diaju mengenai cabaran besar yang pernah dilaluinya selain pandemik Covid-19 yang tiada kesudahan, Muhammad Amir, 30, berkata, pengalaman ditipu oleh rakan baiknya meninggalkan satu kejutan yang tidak pernah dijangka sebelum ini.

Amir menerangkan, mungkin kerana faktor kepercayaan atas hubungan sekian lama seperti saudara sendiri telah membatasi keraguan.

Dalam insiden itu, beliau dimanipulasi dan terpaksa berputih mata apabila emas seberat 400 gram dengan nilai lebih daripada RM60,000 lesap begitu sahaja.

“Saya akui apa yang terjadi disebabkan kesilapan saya sendiri kerana terlalu percaya kepada orang lain 100 peratus.

“Sejak hari itu, saya kini menguruskan perniagaan sendiri tanpa bekerjasama dengan pihak lain kerana tidak mahu pisang berbuah dua kali,” ujarnya.

Muhammad Amir berkata, trend pembelian emas ketika ini amat positif terutama selepas berlakunya pandemik dan beberapa inisiatif diperkenalkan kerajaan se perti moratorium dan pengeluaran wang KWSP.

“Tidak dinafikan kami turut menerima tempiasnya.

“Dengan pengeluaran wang KWSP yang memasuki fasa keempat, pelanggan merasakan pelaburan jangka masa panjang terbaik adalah dengan membeli emas,” katanya.

Sebarang maklumat lanjut mengenai produk yang ditawarkan serta promosi menarik, bolehlah melayari laman sesawang emasamir.com atau menerusi Instagram @kedaiemasamir. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI