fbpx

Kakak ganti nyawa adik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHAMAD AMIR WAFI dan kakaknya, Aimi Amani menunjukkan gambar Allahyarham Aisyah Amani.

BALING – “Saya cuba tahan kereta itu tetapi kakak menolak saya ke tepi hingga terjatuh dan kakak sendiri yang menahan kereta yang sedang bergerak laju itu sehingga kakak tersepit di batang pokok mempelam.”

Demikian ujar Mohamad Amir Wafi Amirrudin, 7, menceritakan detik-detik kakaknya, Aisyah Amani, 10, menyelamatkannya sebelum mangsa meninggal dunia selepas diseret kereta Proton Wira milik datuk mereka yang mengundur sebelum tersepit di perdu pokok.

ALLAHYARHAM AISYAH AMANI

Mohamad Amir Wafi berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, dia dan Aisyah Amani sedang bermain di halaman rumah di Kampung Keledang Luar, di sini.

“Kakak masuk ke dalam kereta yang berada di dalam garaj kereta di hadapan rumah dan saya berada di luar rumah sedang main basikal.

“Kemudian kakak keluar dari kereta dan tiba-tiba kereta itu bergerak. Dia menolak saya, sebelum dia diseret dan tersepit di pokok,” katanya ketika ditemui semalam.

Katanya, dia menjerit me­minta tolong dan ahli keluarga lain yang ketika itu berada di dalam rumah.

Terdahulu, mangsa dikatakan masuk ke dalam kereta tersebut dan bermain di tempat duduk pemandu sebelum dipercayai menurunkan brek tangan kereta.

Mangsa yang panik apabila kereta berkenaan bergerak secara mengundur terus keluar dan berlari ke arah belakang ­untuk menahan kereta itu daripada bergerak.

KERETA Proton Wira yang mengundur dan menyeret mangsa.

Tindakan pelajar Sekolah Kebangsaan Tawar di sini itu, menyebabkan dia dilanggar kereta sehingga mengalami pendarahan pada kepala dan disyaki patah tulang tengkorak.

Nenek mangsa Sukirah Bakar, 62, pula berkata, Aisyah Amani dan tiga lagi adik-beradiknya tinggal situ sejak dua tahun lalu kerana ibu mereka iaitu menantunya, Dang Faridah Karufun bekerja di Sandakan, Sabah.

“Saya tidak menyangka sejak seminggu ini Aisyah Amani asyik minta saya memeluk erat dirinya setiap pagi ketika menghantar ke sekolah, rupa-rupanya itu petanda dia akan pergi selama-lamanya.

“Ketika memeluknya saya terasa sesuatu yang erat seolah-olah Aisyah tidak mahu melepaskan pelukan itu dan sentiasa mengucapkan terima kasih ke­rana menghantarnya ke sekolah setiap pagi,” kata Sukirah.

Pada saat akhir, Sukirah sempat melihat arwah ketika di bilik kecemasan dan membisikkan kata-kata semangat dan kuat melawan sakit kerana cucunya itu sedang berpuasa.

“Namun, apakan daya Allah lebih menyayangi Aisyah Amani dan kami reda dengan pemergiannya,” katanya.

Jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Tawar selepas solat Asar semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, mang­sa berjaya dikeluarkan dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim di Sungai Petani menggunakan ambulans swasta milik tempat bapa saudara ­mangsa bekerja.

“Namun, mangsa disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut selain siasatan turut dilakukan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI