fbpx

Ledakan hatrik Amri bantu Sabah belasah Kedah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AMRI (dua dari kiri) meraikan hatriknya bersama rakan sepasukan selepas menewaskan Kedah 4-0 di Stadium Likas sebentar tadi. - MFL

KUALA LUMPUR – Penyerang berpengalaman Sabah FC, Mohd. Amri Yahyah berada dalam kelas tersendiri apabila meledak hatrik membelasah Kedah Darul Aman FC 4-0 pada aksi Liga Super di Stadium Likas, Kota Kinabalu sebentar tadi.

Amri membuktikan usia 41 tahun tidak menghalangnya untuk mempamerkan penyudah berkualiti dengan menjaringkan tiga gol bermula minit ke-51, 61 dan 71 untuk memastikan Sabah kembali ke landasan kemenangan.

Dalam aksi itu, Sabah yang dikendalikan Datuk Ong Kim Swee melancarkan serangan bertali arus ke arah gawang skuad Helang Merah sejak dari 45 minit separuh masa pertama.

Mohd. Ifwat Akmal Chek Kassim cemerlang menafikan setiap percubaan Sabah tetapi malangnya penjaga gol Kedah itu tidak dapat meneruskan aksi babak kedua kerana kecederaan dan digantikan oleh Muhammad Ilham Amirullah Razali.

SADDIL Ramdani cuba melencongkan bola melepasi benteng Kedah dalam aksi Liga Super di Stadium Likas sebentar tadi. – KDA FC

Situasi itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh Sabah dengan meledak dua gol pantas dalam tempoh lima minit menerusi jaringan Amri dan sepakan percuma jarak jauh daripada Park Tae Soo pada minit ke-51 dan 56.

Hasrat Kedah untuk bangkit tidak kesampaian apabila Sabah berjaya meraih gol ketiga menerusi percubaan cantik Amri pada minit ke-61 selepas berjaya melepasi perangkap ofsaid barisan pertahanan pelawat.

Bekas penyerang kebangsaan itu membuktikan ketajamannya apabila meledak hatrik untuk menjaringkan gol keempat Sabah menerusi satu sepakan lambung menewaskan Ilham pada minit ke-71.

BADDROL (kanan) gagal menyempurnakan sepakan penalti buat Sabah selepas percubaannya ditepis Ilham dalam babak kedua. – KDA FC

Sabah berpeluang memenangi perlawanan itu dengan jaringan lebih besar tetapi sepakan penalti bekas kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar berjaya ditepis keluar Ilham di pertengahan babak kedua.

Kemenangan itu membolehkan Sabah merampas kedudukan kedua dengan kelebihan perbezaan jumlah gol ke atas Kedah yang jatuh ke tangga ketiga selepas enam perlawanan Liga Super setakat ini.

Sabah selepas ini akan berehat seketika selepas aksi bertemu Selangor FC ditunda ke satu tarikh baharu, manakala Kedah yang dibimbing Aidil Sharin Sahak menanti kunjungan Melaka United pada 6 Mei. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI