fbpx

Peniaga rugi RM10,000, pelanggan tak sempat jamah ikan bakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN premis lengang manakala makanan terpaksa ditinggalkan pelanggan di atas meja akibat hujan lebat beserta ribut di Astaka Pantai Seagate, Bayan Baru di sini malam semalam.

GEORGE TOWN – Pengusaha premis ikan bakar berdepan kerugian hampir RM10,000 gara-gara hampir 350 pelanggannya dikatakan bertempiaran lari dalam kejadian hujan lebat beserta angin kencang di Astaka Pantai Seagate, Bayan Baru di sini malam semalam.

Kejadian kira-kira pukul 7.15 malam itu dikatakan berlaku ketika semua pelanggan sedang bersiap sedia untuk menikmati juadah berbuka di dalam premis dan di bawah kanopi.

Pemilik restoran Blue Orchid Seafood Station, Saiful Nizam Mahamad Sharipp berkata, kejadian ribut beserta hujan lebat berlaku dengan tiba-tiba menyebabkan semua pelanggannya berlari meninggalkan juadah yang sudah siap dihidangkan di atas meja masing-masing.

Menurutnya, hidangan seperti ikan bakar dan makanan laut lain yang ditempah pelanggan semuanya terjejas akibat terkena tempias air hujan.

“Memang tidak sangka akan berlaku kejadian sebegini. Semua pelanggan termasuk 100 daripadanya yang berada di bawah kanopi semuanya bertempiaran lari meninggalkan juadah yang belum sempat dijamah dan dibayar.

“Ada yang terus masuk ke dalam kereta, berlari ke bahagian dapur memasak, tempat juruwang dan di dalam kedai.

“Bukan setakat itu, banyak juga gelas kaca pecah dan kanopi di luar patah akibat dipukul angin kuat. Ini merupakan kejadian pertama berlaku di sini,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Saiful Nizam memberitahu, dia reda dengan kejadian berlaku sekali gus menghalalkan semua menu yang ditinggalkan pelanggan tanpa sebarang bayaran.

Sementara itu, terdapat beberapa premis yang beroperasi di Medan Selera Seri Pantai di situ dilaporkan turut terjejas manakala pengusahanya juga dikatakan berdepan nasib sama apabila ramai pelanggan mereka terpaksa meninggalkan premis dan tidak sempat berbuka puasa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI