GUA MUSANG – Polis mengejar seorang lelaki yang meloloskan diri semasa pemeriksaan ‘snap check’ sejauh 50 kilometer sebelum berjaya ditahan di Kilometer 47, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, lelaki berusia 29 tahun yang memandu MPV jenis Perodua Alza itu pada mulanya ditahan semasa polis membuat sekatan jalan raya di Jalan Sungai Terah di sini.
Menurutnya, bagaimanapun, suspek yang datang dari arah Gua Musang menuju ke Jeli itu membuat pusingan U secara berbahaya untuk mengelak daripada pemeriksaan itu.
“Polis telah mengarahkan pemandu MPV itu untuk memberhentikan kenderaan dengan mengunakan siren dan pembesar suara namun, tidak diendahkannya.
“Suspek terus memandu dalam keadaan melulu dan tidak menghiraukan keselamatan pengguna jalan raya yang lain menuju ke arah Kuala Krai,” katanya.
Choon Foo berkata, selepas hampir 50 kilometer dikejar, polis akhirnya berjaya menahan MPV yang dipandu suspek.
Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu tidak menjumpai sebarang barang salah, namun ujian saringan air kencing didapati positif ubat penenang jenis Benzo.
“Berdasarkan keterangan suspek, lelaki itu memaklumkan bahawa dia takut selepas melihat anggota polis yang membuat sekatan.
“Suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang untuk tindakan selanjutnya dan direman selama empat hari bermula Isnin lalu,” katanya.
Terdahulu, tular rakaman video di TikTok memaparkan pasukan polis menyekat jalan raya bagi menahan sebuah MPV di Paloh 2 di sini.
Rakaman video berdurasi 30 saat yang dimuat naik oleh pemilik akaun TikTok ‘Anuar91’ menunjukkan kejadian dua buah kereta polis diletakkan di tengah jalan sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas. – KOSMO! ONLINE
















