fbpx

Pakistan jangan uji kesabaran kami – Taliban

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENUNJUK perasaan memegang sepanduk bagi memprotes serangan udara tentera Pakistan di Khost pada 16 April lalu. - AFP

KABUL – Pemerintahan Taliban memberi amaran kepada Pakistan berhubung serangan udara oleh tentera negara itu di bahagian timur Afghanistan yang mengorbankan sekurang-kurangnya 47 nyawa, lapor laman berita Wion News kelmarin.

Ketua Jurucakap Taliban, Zabiullah Mujahid berkata, Islamabad tidak seharusnya menguji kesabaran rakyat Afghanistan atau mereka perlu bersedia untuk menghadapi akibatnya.

Menurut laporan perkhidmatan berita Khaama Press, Taliban menyelar serangan bom di wilayah Khost dan Kunar dengan memberi amaran bahawa ia boleh membawa kepada kesan buruk.

“Kami sedang mencuba yang terbaik untuk menyelesaikan konflik ini menerusi kaedah diplomatik dan rundingan.

“Tindakan tentera Pakistan akan meningkatkan ketegangan antara Islamabad dan Kabul, seterusnya membawa kepada konflik yang tidak disukai oleh sesiapa pun.

“Selepas ‘menewaskan’ AS, rakyat Afghanistan telah menunjukkan kebolehannya untuk mempertahankan negara ini jadi, Pakistan tidak seharusnya menguji kesabaran kami,” tegas Zabiullah.

Serangan terbaharu pada awal pagi Sabtu lalu telah meningkatkan ketegangan di sempadan kedua-dua negara jiran itu, yang telah pun bergolak sejak beberapa lama terutamanya selepas Taliban mengambil alih tampuk pemerintahan dari AS.

Islamabad mendakwa bahawa kumpulan militan sering melancarkan serangan dari Afghanistan, namun dinafikan oleh Taliban yang turut dituduh melindungi kumpulan militan Pakistan.

Sementara itu, kerajaan Pakistan dalam satu kenyataan berkata, insiden serangan di sepanjang sempadan Pakistan-Afghanistan telah meningkat secara signifikan dalam beberapa hari lepas.

“Pasukan keselamatan Pakistan menjadi sasaran dari seluruh bahagian sempadan. Islamabad telah berulang kali meminta pegawai Afghanistan untuk campur tangan bagi menghentikan tindakan mereka, namun gagal,” kata kenyataan tersebut. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI