fbpx

JDT tunjuk taring benam Ghuangzhou FC 5-0

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bergson Da Silva dikawal dua pemain pertahanan Guangzhou FC pada perlawanan kumpulan I Liga Juara-Juara (ACL) 2022 di Stadium Sultan Ibrahim Iskandar Puteri, Johor.

ISKANDAR PUTERI – Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) memberi amaran kepada pencabar Kumpulan I saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) setelah berpesta gol 5-0 menentang Guangzhou FC di Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam ini.

Ayam tambatan Harimau Selatan, Bergson Da Silva muncul wira buat JDT apabila meledak hatrik membenam pasukan dari China untuk meletakkan JDT sebagai pendahulu kumpulan.

Bergson yang gagal mencipta jaringan pada saingan ACL musim lalu mengubati kekecewaan apabila meledak gol seawal minit ke-10 dengan menanduk masuk hantaran lintang Shane Lowry dari sayap kiri.

Gol pembukaan itu menyuntik semangat pasukan tuan rumah untuk menambah jaringan hasil percubaan Fernando Forestieri pada minit ke-13, rembatannya berjaya dinafikan He Lipan pada awalnya namun kesilapannya menyebabkan bola tertampan ke gawang sendiri.

Pan Yong He yang menurunkan skuad kedua itu terus buntu untuk mengekang kemaraan juara Piala AFC 2015 yang terus mendominasi permainan dan mengucar-kacirkan benteng pertahanan lawan.

Hasilnya, pasukan bimbingan Benjamin Mora terus menambah derita buat pasukan lawan apabila melebarkan kedudukan pada minit ke-27 hasil jaringan Bergson yang mendapat umpanan cantik Afiq Fazail meletakkan JDT 3-0 pada babak pertama.

Bersambung babak kedua, Guangzhou dilihat terus gagal memberi impak pada perlawanan itu sebaliknya terus diasak hebat wakil tunggal Malaysia dalam kejohanan itu yang buas memburu jaringan.

Pada minit ke-55, Bergson melengkapkan malam bergaya buat dirinya apabila mencipta hatrik apabila sekali lagi menewaskan Lipan menerusi tandukan hasil hantaran lintang Corbin Ong.

Pasukan pelawat terus dirundum masalah apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah Guan Haojin dilayangkan kad merah pada minit ke-68 setelah mempamer aksi ‘gusti’ menjatuhkan Bergson yang terlalu berleluasa melakukan larian.

Perbezaan pengalaman jelas ketara antara kedua-dua pasukan apabila JDT lebih bersahaja mengatur gerakan manakala pasukan pelawat pula dilihat tidak menjadi.

Pasukan JDT menambah derita buat pasukan ‘mentah’ apabila menambah jaringan menerusi pemain gantian, Ramadhan Saifullah yang bijak melepasi kawalan pemain pertahanan sebelum melakukan sepakan lambung melepasi jangkauan Lipan pada minit ke-81.

Kemenangan tersebut meletakkan JDT di posisi teratas Kumpulan I dengan mengutip tiga mata pada aksi pembukaan.

Dalam perlawanan berasingan, pertemuan antara kelab Jepun, Kawasaki Frontale menentang pasukan Korea Selatan, Ulsan Hyundai FC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin, dekat sini berakhir dengan 1-1.

Kelab Korea Selatan itu terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-22 hasil jaringan Leonardo Nascimento.

Hasrat pasukan kendalian Hong Myung Bo untuk mengutip tiga mata dinafikan Shintaro Kurumaya yang meledak gol penyamaan pada masa kecederaan untuk membawa pulang satu mata.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI