fbpx
Gambar hiasan.

Ramai janda Selangor, Kelantan mati putik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Ramai wanita di Kelantan dan Selangor menjadi janda apabila bercerai dengan suami masing-masing kerana mengalami masalah seksual iaitu mati putik yang semakin membarah dalam kalangan masyarakat jika tidak diubati.

Mati putik menjadi penyumbang utama kes perceraian kerana kajian mendapati tiga daripada 10 wanita pernah atau sedang mengalami masalah tersebut yang dikenali dengan nama saintifiknya, disfungsi seksual.

Wanita yang mempunyai masalah itu merasakan seks tidak lagi menjadi keutamaan yang menyebabkan pasangan hilang nikmat perkahwinan dalam kehidupan.

Pensyarah Perubatan, Jaba­tan Perubatan Keluarga, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, Profesor Madya Dr. Rosediani Muhamad berkata, perceraian adalah langkah mudah yang diambil oleh kebanyakan pasangan di dua negeri tersebut apabila mendapati isteri mempunyai masalah tersebut.

Katanya, punca utama disfungsi seksual ialah sibuk dengan kerja, stres berpanjangan, proses kehidupan yang meletihkan se­perti proses mengandung, melahirkan, menyusukan dan membesarkan anak.

Dr. Rosediani

“Selain itu, mengambil pil pe­rancang dan mempunyai pe­nyakit kronik seperti kanser juga menjadi punca mati putik.

“Pada hakikatnya, menjaga kesihatan seksual merupakan suatu ibadah dan kunci dalam membentuk perhubungan mawaddah dan sakinah hidup berumah tangga,” katanya dalam satu kenyataan di sini baru-baru ini.

Menurut Rosediani, keba­nyakan wanita di negara ini yang menghadapi masalah mati putik cuba mencari jalan penyelesaian dengan memilih produk berbentuk jus atau minuman bagi me­ningkatkan keintiman untuk me­lakukan hubungan seks.

Katanya, selain itu, ada juga yang memilih kaedah berurut atau bertemu bidan bagi menyelesaikan masalah, namun keba­nyakkannya tidak berkesan.

Ujarnya, masalah mati putik juga melibatkan masalah toleransi pasangan yang akhirnya mengganggu emosi, perhubungan dan sebahagian kecil disebabkan masalah fizikal.

“Faktor persekitaran dan di­dikan keluarga juga menjadi punca kepada berlakunya masalah mati putik. Kefahaman tentang seksualiti yang cetek, kurangnya komunikasi, toleransi, kefahaman tentang seks atau hubungan intim juga menyebabkan hubungan suami isteri semakin renggang.

“Sikap suami yang berang, tidak pandai menunjukkan rasa cinta, berat tulang, tidak pandai berkomunikasi dan memujuk isteri untuk merasai kenikmatan melakukan hubungan seks juga antara punca masalah ini berlaku,” katanya.

Ujar Rosediani, suami perlu memainkan peranan penting dalam mengemudi rumah tangga dan menjaga perhubungan de­ngan pasangan.

Katanya, mati putik boleh dirawat dan setiap pasangan perlu memperbetulkan niat mereka terhadap hubungan seks dengan menganggap ia sebagai ibadah, meningkatkan komunikasi, tole­ransi, mengubah cara hidup yang lebih mesra keluarga dan menzahirkan kasih sayang antara suami isteri.

Ujarnya, bagi wanita yang mengalami masalah itu, mereka dinasihatkan agar tidak malu untuk mendapatkan rawatan atau nasihat daripada doktor di klinik kesihatan, klinik kesejahteraan wanita dan klinik rawatan ke­luarga.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN