fbpx

Tekong bot Vietnam cuba tikam anggota APMM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tekong dan nelayan Vietnam yang ditahan di 46 batu nautika dari Tok Bali, Pasir Puteh kelmarin. - FOTO: IHSAN APMM

PASIR PUTEH – Seorang tekong bot nelayan Vietnam bertindak agresif apabila cuba menikam anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan dengan sebilah pisau semasa pihak berkuasa menahan bot yang kendaliannya di 46 batu nautika dari Tok Bali di sini kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 5 petang semasa bot ronda APMM mengejar bot yang dinaiki tekong bersama 19 orang nelayan warga Vietnam yang berada dalam keadaan mencurigakan pada jarak tiga batu nautika dari Tok Bali.

Pengarah APMM Kelantan, Kapten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab. Rahman berkata, APMM mengambil masa kira-kira 45 minit untuk menghentikan sebelum menahan bot tersebut.

Menurutnya, apabila bot itu ditahan, seorang anggota APMM berusia 32 tahun menerpa masuk ke dalam rumah kemudi bot untuk mengambil alih kawalan bot nelayan berkenaan namun, tekong bertindak mengacukan pisau dan cuba menikamnya.

“Insiden itu menyebabkan berlaku pergelutan antara mereka sehingga bahagian tapak tangan kiri anggota itu cedera. Seorang lagi anggota APMM pula cedera pada ibu jari kanan semasa bergelut dengan nelayan yang lain.

“Bagaimanapun, tekong dan kesemua nelayan warga Vietnam berusia dalam lingkungan 20 hingga 48 tahun berjaya ditahan. Pemeriksaan mendapati, semua warga Vietnam itu tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Syed Nor Adli memberitahu, bot itu juga tidak memiliki permit untuk menangkap ikan di bawah Akta Perikanan 1985.

Ujarnya, APMM turut merampas bot yang dinaiki nelayan-nelayan itu, peralatan menangkap ikan, hasil tangkapan ikan kira-kira 500 kilogram dan 500 liter minyak diesel dengan anggaran nilai sebanyak RM1.5 juta.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 dan Seksyen 16 (3) akta yang sama. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI