fbpx

Shehbaz Sharif sah Perdana Menteri Pakistan yang baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ketua pembangkang Pakistan, Shehbaz Sharif bercakap semasa sidang media di Islamabad pada 7 April lalu. - CNN

ISLAMABAD – Ahli-ahli parlimen Pakistan memilih  Ketua Pembangkang,  Shehbaz Sharif sebagai Perdana Menteri baharu negara itu, lapor stesen penyiaran CNN semalam.

Sesi pengundian di Parlimen berlangsung selepas Perdana Menteri sebelumnya, Imran Khan digulingkan dalam undi tidak percaya berhubung dakwaan tadbir urus yang lemah.

Shehbaz yang merupakan bekas Ketua Menteri wilayah Punjab dan adik kepada Perdana Menteri tiga kali, Nawaz Sharif, akan berkhidmat sebagai Perdana Menteri sehingga pilihan raya umum akan datang, yang dijangka berlangsung pada 2023.

Beliau ditentang oleh bekas Menteri Luar,  Shah Mahmood Qureshi  yang dicalonkan oleh parti politik Imran, Pakistan Tehreek-e-Insaf.

Menjelang sesi pengundian petang semalam,  semua ahli Parlimen  daripada parti Pakistan Tehreek-e-Insaf meletak jawatan secara beramai-ramai kerana membantah prosiding tersebut.

Shehbaz bagaimanapun muncul pemenang apabila mendapat 174 daripada 342 undi di Parlimen.

Berlatarbelakangkan pergolakan politik dan ekonomi yang merudum, Shehbaz kini berdepan tempoh mencabar sebagai pemimpin negara.

Tidak seperti Imran, beliau mengekalkan hubungan baik dengan pihak tentera dan merupakan ketua menteri popular di Punjab yang menjadi faktor penting dari sudut politik. Ini kerana Punjab memiliki penduduk paling ramai di Pakistan.

Beliau dipuji kerana projek pentadbiran dan infrastrukturnya yang bercita-cita tinggi di wilayah itu yang menyaksikan kemajuan dalam sektor pendidikan serta perindustrian.

Shehbaz juga memainkan peranan penting dalam memacu Koridor Ekonomi China-Pakistan bernilai berbilion-berbilion dolar sebagai sebahagian daripada Inisiatif Jalur dan Laluan China di samping mengekalkan hubungan baik dengan Beijing. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI