LANGKAWI – Penyeludup dipercayai menerima upah antara RM120 hingga RM580 bagi setiap pendaratan ayam sabung dan burung Murai Batu yang berjaya dilakukan di Indonesia.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd. Zawawi Abdullah berkata, jumlah upah itu boleh bertambah mengikut jenis dan kuantiti barangan yang mahu diseludup.
“Mereka juga menerima sejumlah komisen sebagai bonus atau habuan tambahan,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Menurutnya, penyeludup didapati menggunakan laluan yang terletak di sebelah utara Pulau Langkawi di mana ia merupakan jarak paling hampir dengan sempadan negara jiran iaitu Pulau Tarutao di Thailand.
Katanya, dengan jarak kira-kira 2.1 batu nautika di antara Pulau Langkawi dan Pulau Tarutao, ia merupakan kawasan hot spot bagi kegiatan penyeludupan.
“Sebaik keluar dari perairan negara Thailand, kebiasaannya bot menggunakan laluan pintas menerusi perairan negara ini menuju ke Aceh, Indonesia bagi tujuan pendaratan,” ujarnya.

Jelasnya, masa yang diambil bagi perjalanan jarak lebih kurang 150 batu nautika itu adalah di antara 8 hingga 10 jam untuk tiba ke destinasi, bagi perjalanan sehala.
Sindiket menggunakan bot fiber berkuasa tinggi iaitu dua enjin dengan 200 kuasa kuda.
“Setiap ekor ayam sabung diletakkan di dalam kotak kayu khas, manakala Murai Batu diletakkan di dalam sangkar.
“Haiwan yang mahu diseludup itu telah diberi makan secukupnya sebelum memulakan perjalanan,” ujarnya.
Menurutnya, APMM percaya urusan jual beli di antara Thailand-Indonesia itu juga berkemungkinan akan berkembang ke negara Asia lain penduduk lain juga mempunyai minat sama terhadap haiwan berkenaan.














