fbpx

Kes mayat dalam gaung : 3 individu disambung reman 7 hari lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TEMPOH reman dua lelaki dan seorang wanita disambung tujuh hari lagi sehingga 11 April depan bagi membantu siasatan kes jumpa mayat tanpa identiti di Jalan Bukit Putus - Kuala Pilah.

SEREMBAN -Tempoh reman tiga individu yang ditahan bagi membantu siasatan kes penemuan mayat wanita tanpa identiti dalam gaung di Kilometer 14, Jalan Lama Bukit Putus Seremban-Kuala Pilah di sini pada 20 Mac lalu disambung tujuh hari lagi.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, perintah reman ke atas dua lelaki masing-masing berusia 41 dan 44 tahun bersama seorang wanita berusia 18 tahun yang berakhir semalam dilanjutkan sehingga 11 April depan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Permohonan tahanan reman ketiga-tiga suspek diluluskan selama tujuh hari bermula 5 April 2022 (hari ini) sehingga 11 April 2022.

“Siasatan kes dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksan iaitu bunuh,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam Kosmo! melaporkan, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, kesemua suspek yang direman sebelum ini dibebaskan dengan jaminan polis semalam, namun mereka ditangkap semula bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah bagi kes lain.

Sebelum ini, ketiga-tiga suspek yang mempunyai talian persaudaraan direman enam hari di bawah seksyen sama iaitu bunuh bermula 30 Mac hingga 4 April lalu.

Pada 20 Mac lalu, akhbar melaporkan seorang lelaki yang sedang berjoging dikejutkan dengan penemuan mayat dipercayai wanita dalam gaung di Kilometer 14, Jalan Lama Bukit Putus Seremban-Kuala Pilah di sini.

Anggota renjer yang bertugas di kaunter Pejabat Jabatan Perhutanan Ulu Bendul Kuala Pilah menyatakan telah didatangi oleh seorang lelaki berusia 50-an  pada pukul 10.50 pagi mengatakan semasa sedang berjoging dan ingin mengambil gambar telah menjumpai mayat tersebut dalam keadaan tertiarap.

Kejadian berlaku di tepi Jalan Lama Bukit Putus Paroi di mana mayat dijumpai dalam gaung bawah jambatan, tempat kejadian jauh dari kawasan perumahan dan sunyi. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI