fbpx

Air mata di sempadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
NORLIDA AKMAR IDROS, WARTAWAN EKSEKUTIF

HARI pertama pembukaan pintu sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam, Kedah dan Wang Kelian di Perlis pada Jumaat lalu menyaksikan suasana penuh emosi antara ahli keluarga yang lama terpisah akibat pandemik Covid-19.

Rata-rata pengembara ditemui mengakui sudah lama memendam rasa rindu terhadap ahli keluarga yang tinggal di Malaysia.

Demikian yang berlaku kepada dua beradik warga emas iaitu Siti Zubaidah Abdullah, 62, dan Che Wa, 67, yang baru tiba di Bukit Kayu Hitam dari kampung halaman mereka di Wilayah Trang, Thailand.

Perasaan rindu kepada anak kandung yang tinggal di Malaysia selepas terpisah sejak tahun lalu membuatkan mereka tidak melepaskan peluang masuk pada hari pertama pembukaan pintu sempadan itu.

Sebaik tiba di Bukit Kayu Hitam, mereka hanya mampu menangis kegembiraan sambil berpelukan dengan anak perempuan masing-masing.

Begitu juga yang berlaku di Wang Kelian apabila pembukaan pintu sempadan tersebut me­nyatukan semula seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dengan ibu bapa serta adik pe­rempuannya yang terpisah lebih dua tahun.

Kanak-kanak terbabit sebelum ini dijaga neneknya yang tinggal di Betong, Wilayah Yala, Thailand sementara ibu bapanya menetap di Kuala Terengganu.

Rata-rata mereka yang ditemui melahirkan rasa syukur ke­rana dapat disatukan semula seterusnya menyambut Ramadan bersama ahli keluarga.

Selain itu, pembukaan pintu sempadan itu juga memberi rahmat kepada pengembara yang mahu mencari rezeki di negara ini.

Sebilangan pengembara yang ditemui di Pos Imigresen di Wang Kelian memberitahu, mereka tidak sabar untuk bekerja di sebuah restoran di Pahang bagi mendapatkan pendapatan lebih.

Pembukaan pintu sempadan antarabangsa berkenaan juga diyakini bakal menyemarakkan lagi industri pelancongan dan ekonomi antara kedua-dua negara.

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, Dr. Robert Ling Kui Ee berkata, suasana di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan Bukit Kayu Hitam agak lengang pada hari pertama pembukaan sempadan dan kebanyakan pengembara masuk ke Malaysia untuk bertemu ahli keluarga masing-masing.

Namun begitu, katanya, hari pertama itu menjadi hari istimewa terutama kepada ahli keluarga yang sudah lama terpisah.

“Sudah pasti menjadi satu kelegaan dan kegembiraan buat mereka yang akhirnya dapat berjumpa semula keluarga.

“Lebih manis apabila mereka dapat menyambut bulan Ramadan tahun ini bersama,” katanya ketika ditemui selepas mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor pada Majlis

Sambutan Sempena Pembukaan Semula Pintu Masuk Sempadan Bukit Kayu Hitam pada Jumaat lalu.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Promosi Antarabangsa Tourism Malaysia, Datuk Dr. Ammar Abd. Ghapar berkata, pembukaan semula pintu sempadan negara menjadi permulaan yang baik kepada sektor pelancongan negara.

“Seramai dua juta pelancong disasarkan masuk ke negara ini pada tahun ini dengan pendapatan lebih RM8.6 bilion.

“Walau bagaimanapun, sasaran jumlah pelancong tersebut boleh berubah bergantung kepada keadaan semasa,” katanya.

Katanya, mereka mempergiatkan lagi promosi di luar negara bagi menarik lebih ramai pelancong masuk ke Malaysia.

“Kita jangkakan jumlah pelancong tidak akan terjejas biarpun pintu sempadan dibuka terlalu hampir dengan bulan Ramadan kerana kita boleh jadikan elemen dalam bulan mulia itu seperti aktiviti berbuka puasa dalam pakej pelancongan,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI