fbpx

Kementerian Pertahanan lulus projek pengubahsuaian MTD

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Affendi melakukan upacara pemeriksaan barisan pada Perbarisan Tahunan Putera MTD di di Kem Perdana Sungai Besi, di sini, hari ini.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan telah meluluskan projek pengubahsuaian serta pembinaan blok tambahan Maktab Tentera Diraja Malaysia (MTD) yang bernilai hampir RM11 juta.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, projek itu meliputi pembinaan kompleks logistik dan senggara, kumpulan kenderaan, stor senjata dan laman niaga.

Katanya, projek tersebut telah pun bermula pada 15 Disember lepas dan dijangka siap sepenuhnya 14 Jun tahun hadapan.

“Selain itu, MTD juga bakal dilengkapi dengan fasiliti sirkit merentas halangan, menara turun cerunan dan flying fox yang baharu.

“Pembinaan sirkit dan menara berkenaan telah diluluskan dan kini dalam proses reka bentuk oleh Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Pertahanan (BPKP),” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perbarisan Tahunan Putera MTD di Kem Perdana Sungai Besi, di sini, hari ini.

Selain itu, katanya, kuota kemasukan putera MTD ke Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Affendi masih kekal pada kadar 40 peratus bagi membuka ruang kepada penuntut MTD melanjutkan pelajaran, seterusnya menyertai perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Tambahnya, beliau juga mendoakan kejayaan buat penuntut yang telah mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini sekali gus mengharumkan nama MTD.

“Saya percaya putera MTD akan terus melakar kejayaan dalam peperiksaaan SPM yang baru sahaja selesai minggu lalu.

“Marilah kita sama-sama berdoa agar mereka memperolehi keputusan cemerlang seterusnya mengharumkan nama MTD,” jelasnya.

Dalam pada itu, jelasnya, kemasukan ke MTD juga kekal hanya untuk pelajar Tingkatan Empat dan Lima dan tiada cadangan membuat pengambilan kemasukan pelatih dari Tingkat 1 hingga Tingkatan 3.

“Kita telah pun menjalani beberapa evolusi pengambilan penuntut dan sebelum ini ada dibuat pengambilan pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3, tetapi kita mendapati corak pembelajaran (ketenteraan) ini lebih sesuai kalau penuntut lebih berumur,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI