fbpx
RAKIS RUHAIM (kanan) akan mengikuti pengajian di USNA, Annapolis, Maryland, manakala Luthfil Haikal akan mengikuti pengajian di USMA, West Point, New York.

Kadet Rakis, Luthfil Haikal ke Amerika Syarikat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERDIRI di hadapan dewan yang penuh dengan wajah-wajah penting dan insan tersayang membuatkan Rakis Ruhaim Abdul Rahman terasa seolah-olah sedang bermimpi.

Seakan baru semalam, pemuda itu berjuang tanpa mengenal lelah dalam latihan fizikal dan akademik yang mencabar, sambil disulami doa dan harapan daripada keluarga tercinta.

Namun pada pagi itu, segala usahanya terbalas apabila dirinya diraikan sebagai salah seorang pelajar cemerlang Malaysia yang akan melanjutkan pengajian di akademi ketenteraan terkemuka di Amerika Syarikat (AS).

Tokoh utama dalam ucapannya ialah ibunya, Remy Abdul Rahman, seorang ibu tunggal yang membesarkan tiga anak dengan bekerja sebagai penolong akauntan.

“Semasa saya mula-mula memasuki Maktab Tentera Diraja, ibu penyokong terbesar saya. Ibu sentiasa ada dengan doa dan kata-kata yang menenangkan.

“Setiap kali saya berdepan cabaran atau rasa ragu-ragu, ibu akan mengingatkan saya untuk terus fokus dan jangan berputus asa.

“Kepercayaan ibu terhadap saya adalah sebab utama saya berdiri di sini hari ini,” katanya dalam Majlis Penyerahan Sijil Pelantikan yang diadakan di Kedutaan AS di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam majlis itu, dua pelajar cemerlang Malaysia, Rakis Ruhaim, 22, dan Luthfil Haikal Haswadi, 20, menerima penghargaan daripada Kedutaan AS di Kuala Lumpur.

Rakis Ruhaim merupakan lepasan Maktab Tentera Diraja, Sungai Besi yang berpeluang mengikuti latihan ketenteraan di Jerman sebelum ini, manakala Luthfil Haikal pelajar dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Majlis tersebut disempurnakan oleh Duta Besar AS ke Malaysia, Edgard D. Kagan dalam satu upacara rasmi yang turut dihadiri Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota,

Angkatan Tentera Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Ts. Reizal Arif Tan Sri Ismail.

Kadet Rakis Ruhaim akan menyertai U.S. Naval Academy (USNA) di Annapolis, Maryland, manakala Kadet Luthfil Haikal akan melanjutkan pengajian di U.S. Military

Academy (USMA) di West Point, New York sebagai sebahagian daripada Kelas 2029. Kedua-dua mereka melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda di akademi ketenteraan AS berkenaan.

Bagi USNA, hari Induksi dijadualkan pada 26 Jun, diikuti serta-merta dengan program musim panas selama tujuh minggu. Sesi akademik bermula sebaik saja musim panas tamat, tanpa sebarang sela waktu.

Manakala USMA, hari induksinya dikenali sebagai Hari Penerimaan berlangsung pada 30 Jun. Latihan Asas Kadet (CBT) selama enam minggu akan bermula sejurus selepasnya, diikuti sesi akademik.

Kedua-dua mereka akan ikuti pengajian ijazah sarjana muda itu selama empat tahun dan dijangka tamat pada tahun 2029.

Mengimbau perjalanan awalnya dalam dunia ketenteraan, Rakis berkongsi bahawa segalanya bermula selepas pemergian bapanya ketika dirinya berusia 14 tahun.

Sebagai anak sulung dan satu-satunya lelaki dalam keluarga, timbul rasa tanggungjawab dalam diri anak jati Kuala Lumpur itu untuk menjadi tonggak keluarga.

Keluarga besarnya turut memberikan sokongan padu agar dirinya meneruskan pengajian di Maktab Tentera Diraja, Sungai Besi, Kuala Lumpur selepas menamatkan PT3 dengan keputusan cemerlang.

“Di maktab, saya berkhidmat sebagai kapten pasukan bola sepak sekolah dan menerima Anugerah Emas dalam Pengucapan Awam.

“Saya juga dianugerahkan Half Colors, satu pengiktirafan berprestij atas sumbangan saya dalam sukan bola sepak dan bola tampar sepanjang berada di kolej,” jelasnya.

LUTHFIL HAIKAL bersama keluarganya yang banyak memberikan sokongan.

Selepas tamat pengajian di peringkat sekolah menengah, Rakis terpilih melanjutkan latihan ketenteraannya di Mürwik Naval Academy, Jerman.

Di sana, Rakis menyertai latihan selama tujuh minggu merentasi Lautan Atlantik Utara menaiki kapal layar Gorch Fock.

Selain itu, Rakis turut menjalani latihan praktikal selama dua minggu di atas kapal bantuan FGS Bonn yang terlibat dalam operasi rondaan Standing NATO Maritime Group 2 di Laut Mediterranean.

Pengalaman tersebut memberikannya pendedahan langsung terhadap operasi ketenteraan laut antarabangsa.

Rakis juga mewakili pasukan bola sepak akademi dan bersaing secara kompetitif dalam Liga Bola Sepak Jerman Divisyen Kelapan membuktikan kemampuan kepimpinan dan atletiknya di peringkat antarabangsa.

Dalam akademik, Rakis cemerlang apabila berjaya menamatkan pengajian asas Kejuruteraan dan Teknologi dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.80.

Rakis juga fasih berbahasa Jerman setelah lulus tahap kemahiran B2 sekali gus memperkukuh keupayaannya untuk beroperasi dalam persekitaran antarabangsa yang pelbagai.

Menurut Rakis, kekayaan tradisi dalam dunia tentera laut menjadikan kerjaya tersebut bukan sahaja unik dan menarik, malah turut mempengaruhi keputusannya untuk menyertainya.

“Saya kagum dengan bagaimana sistem dan tradisi tentera laut selaras dengan piawaian antarabangsa, mencerminkan tahap profesionalisme yang tinggi.

“Saya juga tertarik dengan penampilan seragam yang konsisten di seluruh dunia, seperti pemakaian warna putih yang menjadi identiti global tentera laut,” ujarnya.

Sementara itu, bagi Luthfil Haikal, minat mendalam terhadap pertahanan dan geopolitik telah menyemai impian itu sejak dirinya berusia 12 tahun.

Anak kelahiran Terengganu itu begitu mendalami bacaan tentang sejarah ketenteraan, senjata revolusioner serta realiti peperangan dan politik, sehingga membina cita-cita untuk ke West Point.

“Walaupun saya tidak berasal daripada keluarga tentera, semangat dan minat mendalam untuk berbakti kepada negara menjadi pendorong utama saya memilih haluan ketenteraan.

“Saya memohon sebagai Pegawai Kadet di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan sejak awal lagi menyasarkan peluang pengajian di luar negara.

“Saya memilih West Point sebagai keutamaan, walaupun turut terpilih sebagai kadet antarabangsa untuk Akademi Pertahanan Nasional (NDA) di Yokosuka, Jepun,” katanya.

Meraih 9A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), pelajar cemerlang dari Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Pendang, Kedah tersebut turut menerima Anugerah

Kecemerlangan Akademik MRSM 2023.

Dengan minat mendalam terhadap Matematik dan Sejarah sejak bangku sekolah rendah, Luthfil juga aktif dalam sukan bola sepak serta sukan air seperti renang dan kayak.

Luthfil turut menerima Anugerah Emas Yayasan Terengganu 2023 atas pencapaian akademik dan kokurikulum. Anak ketiga daripada lima beradik itu juga pernah dua kali mewakili UPNM dalam Pertandingan Debat Diraja dan Pertandingan Debat Asasi Peringkat Kebangsaan.

Kini, Luthfil merupakan kadet tahun pertama dalam jurusan Pengurusan Operasi dan Sains Data di UPNM, selepas berjaya memperoleh PNGK 4.00 dalam pengajian asasi Kejuruteraan dan Teknologi.

Luthfil memilih untuk menyertai tentera darat kerana percaya bahawa ia menawarkan lebih banyak peluang untuk berinteraksi dengan individu daripada pelbagai latar belakang.

“Tentera darat membolehkan saya membina hubungan serta pengalaman yang lebih luas. Sejujurnya, saya lebih teruja berbanding gementar untuk ke West Point.

“Saya berharap dapat membawa pulang ilmu dan kepakaran yang ditawarkan oleh West Point, agar dapat disesuaikan dengan keperluan pertahanan negara kita,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN