PETALING JAYA – Kaum lelaki merekodkan jumlah kematian paling tinggi disebabkan oleh penyakit jantung iskemik berbanding wanita.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, oleh sebab itu, penyakit jantung iskemik kekal sebagai faktor utama kematian penduduk negara ini.
Katanya, berdasarkan rekod pada 2019, sebanyak 12,707 (68.6 peratus) kematian kaum lelaki manakala 5,808 kes (wanita).
“Begitu juga dengan tahun 2020, sebanyak 19 peratus dicatatkan kaum lelaki, manakala 13.4 peratus pula kaum wanita,” katanya.
Menurut Dr. Mohd. Uzir, selain jantung, empat lagi penyumbang kematian utama di negara ini adalah pneumonia serebrovaskular, kemalangan jalan raya dan malignant neoplasm (ketumbuhan dengan kanser) pada trakea, bronkus dan paru-paru.
Tambahnya, 15 peratus daripada 109,164 kematian berpunca daripada penyakit jantung iskemik yang disahkan secara perubatan pada 2019.
“Pada 2020, lebih 18,500 kematian atau 17 peratus daripada 109,155 kematian disebabkan oleh penyakit sama,” katanya.
Ujar Dr. Mohd. Uzir, majoriti kematian akibat jantung melibatkan mereka yang berusia 41 tahun ke atas melibatkan kaum Bumiputera diikuti Cina dan India.
“Secara kesimpulan, penyakit jantung menjadi pembunuh utama sejak dua dekad lalu,” katanya.















