fbpx

De Palma Eco Resort Kuala Selangor beroperasi semula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Juwairiya (dua dari kiri) dan Mahmud (tiga dari kanan) semasa meninjau De Palma Eco Resort Kuala Selangor hari ini.

KUALA SELANGOR – De Palma Eco Resort di sini yang ditutup sejak Oktober lalu dibuka semula dengan diuruskan operator baharu, The Blanket Hotel Sdn. Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Datuk Mahmud Abas berkata, langkah itu memberikan peluang kepada syarikat bumiputera berkenaan dalam membawa hotel itu ke arah dimensi baharu dalam industri perhotelan.

Jelasnya, langkah sama turut dilakukan terhadap dua lagi hotel milik PKNS di Ampang dan Shah Alam.

“Kami telah menjenamakan De Palma dan hala tuju PKNS ketika ini adalah memberi peluang kepada orang luar, iaitu syarikat tempatan untuk mengoperasikannya dan menyediakan latihan buat pekerja.

“Kuala Selangor merupakan daerah yang kaya dengan destinasi eko pelancongan, malah kami masih memiliki 2.8 hektar tanah di sekitar hotel ini yang boleh dibangunkan bagi tujuan tersebut,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis pembukaan semula resort itu di sini.

Ia dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifili dan turut dihadiri Pengarah The Blanket Hotel Sdn. Bhd., Eija Hindon Salleh.

De Palma Eco Resort menyediakan 48 chalet dan 12 vila dengan kemudahan seperti kolam renang, kawasan meletakkan kenderaan percuma, dewan dan ‘Coffee House’.

The Blanket Hotel telah mengoperasikan enam buah hotel setakat ini termasuk tiga di Pulau Pinang.

Sementara itu, Juwairiya berkata, De Palma adalah satu jenama ikonik di Kuala Selangor dan boleh dianggap sebagai pilihan terbaik di daerah ini.

Namun katanya, pandemik Covid-19 telah menyebabkan operasinya ditutup sementara dan sekiranya situasi itu berlarutan, dibimbangi pengunjung di daerah ini tiada pilihan untuk bermalam dan menjadi pelancong ‘balik hari’ sahaja.

“Pembukaan semula ini akan menghidupkan kembali industri pelancongan di sini dan saya difahamkan sebahagian daripada 30 pekerja yang diambil adalah mereka yang telah diberhentikan sebelum ini.

“Sokongan kerajaan negeri selain pembangunan semula Bukit Melawati dijangka akan menambah kembali jumlah pelancong yang dianggarkan mampu mencecah 10,000 orang hingga akhir tahun ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI