fbpx
Gambar hiasan.

50 peratus kawasan hutan untuk konservasi Harimau Malaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Malaysia memerlukan sebanyak 50 peratus kawasan berhutan menjelang tahun 2040 bagi melaksanakan usaha konservasi untuk melindungi Harimau Malaya daripada ancaman kepupusan.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kawasan hutan seluas 50 peratus itu diperlukan memandangkan hutan di semenanjung Malaysia hanya sekitar 43.4 peratus sahaja.

“Kita perlu kekalkan dan kukuhkan habitat Harimau Malaya menggunakan tanah mampan dan hentikan sebarang pencerobohan dan pemburuan haram.

“Langkah diambil ialah tingkatkan kawasan hutan di mana di Semenanjung keluasannya sekitar 43.4 peratus, dalam Rancangan Fizikal Negara Keempat menetapkan menjelang 2040, negara kita perlu ada kawasan berhutan sebanyak 50 peratus,” katanya di Dewan Rakyat di sini tadi.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH- Balik Pulau) berhubung apakah langkah diambil kerajaan bagi memastikan populasi Harimau Malaya tidak dibunuh.

Dalam pada itu, Takiyuddin menjelaskan, antara langkah lain dilaksanakan kerajaan bagi melindungi Harimau Malaya termasuklah menubuhkan Pasukan Petugas Khas yang dipengerusikan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Antara langkah lain diambil seperti mempergiatkan pengawasan di lapangan yang membabitkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), veteran ATM, veteran PDRM dan komuniti Orang Asli.

“Kita juga memperkasakan instrumen kewangan inovatif sebagai tambahan insentif kepada negeri yang menjaga hutan mereka sebagai langkah konservasi selain pelaksanaan skim akreditasi habitat harimau Malaya yang dinamakan Ekological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT),” katanya. -KOSMO! ONLINE

POPULAR