fbpx

[VIDEO] 8 remaja ditahan tuang sabun dalam kolam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar rakaman CCTV menunjukkan aksi remaja melakukan khianat dengan menuang sabun ke dalam kolam sehingga perbuatan itu tular di media sosial sejak kelmarin.

KLUANG – Lapan remaja lelaki termasuk tiga pelajar sekolah menengah ditahan susulan kes khianat terhadap sebuah kolam hiasan di sebuah pusat beli-belah di sini, awal pagi Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisoner Low Hang Seng berkata, suspek yang berusia lingkungan 16 hingga 19 tahun itu ditahan selepas menyerah diri di Balai Polis Sri Lalang di sini kira-kira 9.30 malam tadi.

Katanya, motif kejadian dipercayai akibat terpengaruh dengan aksi TikTok dan hasil ujian saringan air kencing semua suspek adalah negatif.

“Semalam kira-kira 4 petang, pihak polis telah mengesan satu rakaman video tular berdurasi 55 saat yang dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook Aku Budak Kluang.

“Video itu jelas memaparkan tingkah laku sekumpulan penunggang motosikal membuat khianat terhadap harta dengan menuangkan dua tong cecair pencuci baju ke dalam kolam hiasan di bangunan Kluang Parade di sini.

“Kejadian itu dipercayai telah berlaku pada Ahad lalu kira-kira 5.30 pagi dan susulan rakaman video tersebut, pihak polis telah mengenalpasti dan membuat tangkapan ke atas lapan lelaki yang disyaki terlibat untuk siasatan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu khianat terhadap harta.

“Pihak polis mengingatkan perbuatan vandalisme atau lebih dikenali dengan gejala laku musnah iaitu tabiat membinasakan harta benda awam atau harta benda orang lain boleh diambil tindakan undang -undang.

“Mana-mana pihak yang dikesan sengaja melanggar undang-undang akan diambil tindakan tanpa kompromi,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI