fbpx

Sultan Nazrin berkenan lancar buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Nazrin (dua kiri) berkenan melancarkan buku Pilihan Raya Demokrasi di Kuala Lumpur hari ini. /FOTO FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR

KUALA LUMPUR – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyempurnakan pelancaran buku Pilihan Raya Demokrasi di sini hari ini.

Buku setebal 760 muka surat terbitan Universiti Malaya itu merupakan hasil karya bersama Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman dan Dr. G. Manimaran.

Baginda bertitah, buku yang dihasilkan itu merupakan sebuah buku komprehensif mengenai perjalanan pilihan raya demokrasi di Malaysia dengan memaparkan panduan pelbagai dimensi mengenai pilihan raya.

“Ia termasuklah pengundi yang mempunyai peranan besar dalam memilih wakil rakyat mereka, bakal calon yang bertarung di gelanggang demokrasi, ejen-ejen calon, para penyokong calon dan parti politik terlibat.

“Selain itu, turut melibatkan petugas-petugas pilihan raya dan sesiapa sahaja yang ingin mengetahui hak, peranan, fungsi dan tanggungjawab seorang pengundi dan wakil rakyat dalam pilihan raya,” titah baginda ketika majlis pelancaran buku tersebut di sini hari ini.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Malaya, Profesor Datuk Ir. Dr. Mohd Hamdi Abd. Shukor berkata, buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir akan dapat mengisi keperluan mendidik semua pihak agar lebih faham proses penjalanan pilihan raya di Malaysia.

“Ia sekali gus mengukuhkan lagi sistem demokrasi yang sedia ada serta pengetahuan mengenai selok-belok pilihan raya bukan hanya perlu diketahui oleh para calon semata-mata.

“Malahan harus difahami, diketahui dan dihayati oleh setiap rakyat negara ini. Hal ini sangat penting demi kelangsungan sistem demokrasi yang sihat bagi pembentukan kerajaan mengikut lunas-lunas undang-undang.

“Buku ini merupakan karya komprehensif mengenai perjalanan pilihan raya demokrasi di Malaysia sepanjang 60 tahun yang lalu, dan turut merangkumi pindaan Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan pengenalan dasar Undi 18,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI