fbpx

Kostum Megatron, Bumblebee iring anak ke sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Nurul Hafida (kanan) bergambar bersama dua kostum karakter Transformers selepas menghantar anaknya di SK Cherang Ruku, Pasir Puteh hari ini. /FOTO TOREK SULONG

PASIR PUTEH – Seorang ibu membawa dua kostum karakter popular filem Transformers iaitu Megatron dan Bumblebee untuk mengiringi anaknya yang mendaftar murid tahun satu di Sekolah Kebangsaan (SK) Cherang Ruku di sini hari ini.

Wan Nurul Hafida Nawi, 35, berkata, suaminya, Ahmad Hamizan Ripin, 29, menjalankan perniagaan sewaan kostum adiwira membenarkan dia menggunakan dua karakter itu selama sejam untuk mengiringi anak mereka, Ilya Irdina Ainsyah, 7, pada hari pertama persekolahan.

Menurutnya, dua kostum itu dipakai oleh rakan-rakannya iaitu Hisyam Abdullah, 21, dan Abdul Rahim Md. Yusof, 22, turut menunjukkan pelbagai aksi adiwira tersebut di hadapan pintu pagar sekolah untuk menceriakan murid-murid lain.

“Sepatutnya, suami yang akan memakai kostum tersebut dan mengiringi anak kami ke sekolah namun, dia tidak dapat berbuat demikian kerana menguruskan perkhidmatan sewaan pakaian tersebut di enam buah SK yang lain.

“Selain memberi semangat untuk anak kami, perkhidmatan kostum Megatron dan Bumblebee hari ini diberi secara percuma kepada pihak SK Cherang Ruku sebagai menghargai jasa guru-guru di sekolah berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Menurut beliau, suaminya merupakan pengasas CRS Cosplay yang memberi khidmat sewaan bagi majlis hari jadi, kenduri perkahwinan dan gimik penganjuran majlis dengan kadar caj sewaan sehingga RM150 sejam.

Ujarnya, penggunaan kostum dua karakter Transformers itu di sekolah sebagai salah satu usaha yang dilakukan oleh suaminya untuk memberi semangat kepada anak sulung mereka dan murid-murid tahun satu yang lain. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI