fbpx
MENURUT Dr. Jemilah, kesihatan planet bermula dengan diri individu dengan tidak merosakkan alam sekitar bagi menjadikan dunia ini satu tempat selamat untuk semua termasuk manusia dan haiwan.

Jiwa terasa kosong tak bantu orang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBUAT sahaja nama Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood, semua orang mengenalinya sebagai seorang doktor perubatan yang tidak pernah kenal erti jemu dan penat membantu mereka yang memerlukan lebih-lebih lagi ketika berdepan dengan bencana alam dan kancah peperangan.

Sifat ingin membantu mereka yang terkesan yang menebal dalam dirinya itu menyebabkan beliau menubuhkan MERCY Malaysia suatu ketika dahulu sebelum meninggalkan organisasi tersebut pada tahun 2009.

Dalam kolum Wawancara Kosmo! Ahad minggu ini, Dr. Jemilah membicarakan tentang isu-isu terkini yang baginya perlu diketengahkan kepada umum termasuk kesihatan planet yang berkait rapat antara hubungan manusia, haiwan dan alam.
—————————————————————————————————————————————————–

DI sebalik wajah dan tutur katanya yang lembut, tokoh kemanusiaan terkenal negara, Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood sebenarnya seorang wanita berhati waja, bertenaga dan penuh kasih sayang dalam memberikan khidmat kemanusiaan kepada mereka yang memerlukan.

Beliau menjadi model ‘Doktor Tanpa Sempadan’ menerusi kerja-kerja kemanusiannya dan membangunkan Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (MERCY Malaysia), yang turut memberi rangsangan kepada badan bukan kerajaan (NGO) lain dalam memberikan khidmat serupa.

Malah, antara memori paling diingati beliau ketika bertugas adalah apabila pinggulnya terkena tembakan peluru dalam satu misi kemanusiaan di Iraq.

Namun, ia tidak langsung mematahkan semangat ibu kepada dua orang cahaya mata itu, sebaliknya beliau menjahit lukanya sendiri sebelum meneruskan tugas dan membantu seorang wanita yang hendak bersalin

Bagi mengulas lanjut tentang beberapa isu kemanusiaan yang sedang hangat diperkatakan, wartawan Kosmo! Ahad, ZURAINI MOHD. KHALID menemu bual Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood baru-baru ini.

KOSMO! AHAD: Tan Sri memulakan kerjaya kedoktoran di Hospital Kuala Lumpur dan juga pensyarah Obstetrik dan Ginekologi di Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebelum menyertai hospital swasta terkenal. Apakah yang mendorong Tan Sri untuk ‘meninggalkan’ kerja hospital dan menumpukan tenaga untuk menubuhkan MERCY Malaysia dalam membantu mangsa bencana dan peperangan di seluruh dunia?

DR. JEMILAH: Saya sentiasa terlibat dengan kerja sukarela sejak usia muda dan datang daripada keluarga yang mengajar untuk membantu orang yang memerlukan.

Apabila melanjutkan pelajaran ke sekolah perubatan, saya sentiasa membayangkan akan bekerja di persekitaran terdedah dengan semua perkara.

Ketika kemuncak kerjaya perubatan, jiwa saya terasa kosong dan inilah diri saya sebenar. Saya perlu berbuat sesuatu untuk keluar ke lapangan membantu mereka yang memerlukan.

Pada ketika itu, saya tercari-cari organisasi yang sesuai untuk turut serta menyampaikan bantuan dalam krisis di wilayah Balkan di Eropah yang berada dalam peperangan.

Disebabkan saya dapati tidak ada pertubuhan sebegitu di negara ini, lalu atas dorongan suami, kami mengasaskan NGO kesihatan dan perubatan, MERCY Malaysia.

Ia diasaskan dengan harapan dapat menanam ‘benih’ sebagai sebuah organisasi yang baik untuk berkembang maju ke hadapan, selain membawa rakyat Malaysia dari semua lapisan masyarakat untuk bekerjasama sebagai satu pasukan.

Bagi saya, apabila seseorang itu boleh melihat melangkaui keperluan individu dan mengambil berat terhadap orang lain tanpa mengira kaum, agama, negara atau sempadan, ia adalah satu kepuasan hakiki.

MERCY Malaysia dianggap sebagai NGO kemanusiaan paling berjaya di negara ini, selain turut diiktiraf di peringkat global. Apa pandangan Tan Sri, kekuatan MERCY Malaysia yang membawa kepada kejayaan globalnya, berbanding NGO lain di Malaysia?

Ia lebih kepada beberapa perkara yang membawa kami ke arah kecemerlangan itu, yang pertama adalah masa yang tepat.

Kami bertuah kerana menjadi salah satu pertubuhan kemanusiaan perintis di Malaysia ketika itu, yang mana menerima sokongan padu daripada ahli keluarga, rakan, penderma serta orang awam.

Keduanya, kakitangan dan sukarelawan kami begitu komited, bersemangat dan menunaikan janji mereka untuk sama-sama berganding bahu membantu. Ia kunci penting kejayaan misi yang dilancarkan.

Seterusnya, kami juga mendapat bantuan daripada beberapa syarikat terkemuka untuk memastikan kami mempunyai piagam yang jelas dan kukuh, tadbir urus baik bagi mengukuhkan organisasi.

Namun, apa lebih penting, sebagai orang Islam, saya sentiasa percaya rahmat, hidayah dan pertolongan daripada Yang Maha Esa dalam setiap apa yang kami lakukan memainkan peranan dalam kejayaan itu.

MERCY Malaysia masih aktif beroperasi pada hari ini, lama selepas Tan Sri meninggalkan organisasi tersebut pada 2009. Mengapa Tan Sri memilih untuk meninggalkan organisasi itu?

Sebenarnya saya merancang untuk meninggalkan MERCY Malaysia kira-kira empat hingga lima tahun sebelum saya akhirnya berbuat demikian.

Bagi saya, pengasas tidak boleh berada dalam sesuatu organisasi untuk tempoh lama, satu hari perlu meninggalkannya.

Jika tidak berbuat demikian, sukar untuk memisahkan antara kepentingan organisasi dan pengasasnya.

Walaupun kini kebanyakan orang masih melihat MERCY Malaysia sebagai saya, tetapi cukup gembira apabila bertemu dengan orang yang tidak mengenali saya lagi, namun tetap dan terus memuji apa yang organisasi itu lakukan dalam kerja-kerja kemanusiaan.

Untuk itu, adalah perlu bagi mana-mana organisasi dapat sentiasa menyesuaikan diri dan berubah untuk terus bergerak ke hadapan mencapai misi dan visi. Selagi nilai itu kekal, ia akan kekal relevan dan berjaya.


DR. JEMILAH ketika bertemu Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah beberapa tahun lepas.

Bersempena Hari Wanita baru-baru ini, ia disambut di seluruh dunia, tetapi realitinya, masih terdapat banyak jurang ke arah mencapai kesaksamaan jantina. Apakah faktor pendorong advokasi aktif Tan Sri untuk kesaksamaan jantina dan pemerkasaan wanita?

Apabila saya membayangkan kekuatan dan daya tahan, saya melihat wanita yang berani dan golongan ibu yang ditemui sepanjang menjadi pengamal perubatan dan menjalankan aktiviti kemanusiaan.

Kesemua mereka hidup dalam suasana dan persekitaran mencabar.

Di zon perang misalnya, saya pernah bertemu seorang wanita yang baru melahirkan bayi segera bangun dan berkemas untuk pulang ke rumah hanya enam jam selepas bersalin dengan mengatakan: “Jika bom jatuh di rumah saya malam ini, saya mahu berada bersama anak-anak saya”.

Begitulah kuatnya keazaman dan hasrat seorang wanita bergelar ibu.

Di samping itu, saya sentiasa diingatkan, jika seseorang wanita dihormati dan kesaksamaan jantina ditegakkan, seluruh komuniti mendapat manfaat daripada hasil kesihatan dan pendidikan lebih baik, selain ikatan komuniti terjalin kukuh.

Saya berada di sini hari ini kerana mempunyai ibu bapa yang percaya kepada kesaksamaan jantina, seorang bapa yang mengajar saya membaca dari umur dua tahun. Saya sebenarnya terdedah kepada tulisan karya novelist Inggeris, Nevil Shute dan Charles Dickens serta akhbar Utusan Melayu sedari usia muda.

Selain itu, saya sentiada mendapat sokongan suami penyayang yang bukan sahaja percaya pada hak sama untuk wanita, tetapi mengakui di mana kita lebih kuat untuk terus cekal dalam menghadapi cabaran hidup.

Suami jugalah yang ‘mengangkat’ dan ‘mendorong’ saya ke atas dan ke hadapan apabila saya rasakan sesuatu cabaran itu terlalu kuat untuk dihadapi seorang diri.

Dalam erti kata lain, kita perlu menjadi rakan kongsi (lelaki dan wanita), agar dunia ini menjadi tempat yang lebih baik untuk semua orang.

Secara ringkasnya, saya menyokong peranan dimainkan oleh wanita kerana saya manusia dan ia adalah perkara yang betul untuk dilakukan.

Tan Sri kini menjawat jawatan Pengarah Eksekutif pusat penyelidikan dan penglibatan yang baru ditubuhkan, Sunway Centre for Planetary Health. Selepas lebih 20 tahun terlibat dalam krisis kemanusiaan antarabangsa, apakah yang mendorong Tan Sri meninggalkan tempat kejadian bantuan bencana alam dan krisis dan kini memperkenalkan konsep kesihatan planet?

Tanpa disedari ramai, kebanyakan pengalaman dalam kerja-kerja bantuan kemanusiaan antarabangsa yang mendorong saya melakukan kerja yang dilakukan sekarang berkaitan kesihatan planet.

Kalau kita lihat dengan jelas, segala-galanya seperti berkait antara hubungan kita dengan alam sekitar.

Ini termasuk kisah sedih kanak-kanak kekurangan zat makanan yang saya temui, masyarakat dibebani penyakit berpunca daripada kekurangan air bersih serta sanitasi akibat dasar kerajaan yang mengabaikan kesihatan manusia.

Semuanya menjurus kepada kesihatan planet, malah Covid-19 sendiri jelas tidak datang begitu saja.

Tindakan pemusnahan alam yang kita lakukan menerusi penebangan hutan, pemerdagangan haiwan liar dan bentuk
kerosakan alam sekitar lain meningkatkan hubungan antara hidupan liar dan manusia.

Ini meningkatkan risiko zoonosis, menjadikannya lebih mudah bagi penyakit berjangkit dari haiwan kepada manusia.

Tingkah laku kolektif semasa bermakna wabak akan berlaku lebih kerap, terutamanya dengan virus pembebasan pemanasan global yang disimpan dalam permafrost atau perisai ais kutub.

Konflik demi konflik, saya diingatkan tentang krisis iklim lebih besar dan bagaimana kita perlu mula melihat ke depan dan berfikir dengan lebih sistematik.

Ia bagi membina kapasiti kesediaan krisis di peringkat global dan budaya yang boleh mencegah krisis. Satu cara untuk mencapai matlamat ini dengan menormalkan pendekatan kesihatan planet.

SALAH satu program kemanusiaan antarabangsa yang disertai Dr. Jemilah beberapa tahun lalu.

Kesihatan planet agak baharu dan sudah tentu ia satu istilah yang asing di Malaysia. Bagaimanakah ia berbeza dengan kesihatan awam, peranan yang Tan Sri pernah pegang sebagai Penasihat Khas Kesihatan Awam kepada Perdana Menteri pada 2020?

Secara tradisinya, istilah kesihatan awam bermaksud promosi kesihatan dan pencegahan penyakit untuk orang ramai.

Tidak dinafikan, penekanan terhadap kepentingan kesihatan awam telah meningkatkan kesihatan dunia dengan begitu ketara sejak sekian lama. Kesihatan awam telah menambah 30 tahun kepada purata jangka hayat sepanjang abad lalu.

Dengan menguruskan semua ini, kita terlupa selama ini telah mengorbankan planet (Bumi) yang kita diami akibat mengalami pelbagai pencemaran termasuk toksik udara dan air yang memberi kesan kepada kehidupan haiwan dan manusia.

Tidak cukup dengan itu, ia ditambah dengan penipisan lapisan ozon akibat aktiviti manusia dan senarai kemusnahan alam (planet) terus mencengkam hidup kita semua.

Semua orang kena memainkan peranan dengan menjaga alam kerana kita tidak boleh lagi mengekalkan orang sihat di planet yang sakit, kerana akhirnya mereka akan jatuh sakit dalam jangka masa panjang.

Sebagai doktor perubatan, saya melihat kini kita mempunyai dua pesakit, bukan sahaja pesakit manusia, tetapi juga pesakit planet (alam). Kesihatan planet sebenarnya memerlukan kita untuk menguruskan rumah kita, Bumi, sistem politik, ekonomi dan sosial dengan lebih baik.

Pada pandangan Tan Sri, apakah cabaran kesihatan planet semasa dihadapi di Malaysia dan apakah perlu dilakukan untuk menanganinya?

Setakat ini, kita mempunyai maklumat dan pengetahuan yang terhad, kehendak politik atau insentif untuk berfikir dan bertindak secara berbeza, selain sistem tadbir urus yang tidak selari dengan keperluan kesihatan planet.

Saya berpendapat, cabaran lebih besar untuk Malaysia adalah terletak pada imaginasi dan visi kolektif kita.

Kita sekarang menghadapi cabaran ‘rabun’ politik, ekonomi dan sosial. Ini bermakna, kita semua mementingkan keuntungan jangka pendek bagi meningkatkan taraf hidup dengan mengabaikan penjagaan alam sekitar.

Kita membiarkan alam sekitar terus menerima ‘kemudaratan’ yang akhirnya menjejaskan masa depan kesihatan manusia. Kita selalu menerima mesej berkaitan mala petaka dan krisis iklim kurang tepat dan ia adalah berbahaya.

Apa yang kita mahukan adalah cetusan tindakan kolektif berkesan dengan gambaran positif tentang kemajuan perlu sejajar dengan kesihatan persekitaran semula jadi.

Ini adalah dunia yang kita mahu diami. Penambahbaikan kepada standad kehidupan boleh dibuat dengan menyediakan bandar, udara, air, ekonomi yang sihat termasuk penduduknya sekali.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN