fbpx
GAMBAR HIASAN.

Graduan ditipu iklan kerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Impian besar graduan-graduan baharu untuk menikmati pekerjaan yang sempurna selain gaji setimpal tidak seindah yang disangka apabila ramai dalam kalangan mereka sering menjadi mangsa penipuan kepada agensi pekerjaan.

Modus operandi pihak tidak bertanggungjawab itu adalah dengan mengiklankan tawaran pekerjaan dengan jawatan dan gaji-gaji tertentu sama ada menerusi online mahupun di media sosial.

Bagaimanapun, masalah mula timbul apabila individu yang menjalani temu duga dimaklumkan bahawa mereka tidak akan mendapat jawatan yang dipohon, sebaliknya diberikan jawatan yang jauh lebih rendah berbanding tawaran asal.

Tidak hanya diperdaya dari segi jawatan kerja, gaji yang ditawarkan juga akan dikurangkan hampir 50 peratus berbanding gaji yang diiklankan.

Berkongsi pengalaman pahit itu, Suraya, 25, yang merupakan graduan lepasan universiti tempatan berkata, dia pernah menjadi mangsa penipuan iklan pekerjaan yang dianggapnya sekadar untuk memancing pencari kerja.

“Saya terjumpa sebuah iklan pekerjaan di platform mencari kerja yang sah dan menghantar butiran seperti yang diminta.

“Saya berasa amat gembira apabila dipanggil untuk sesi temu duga bagi jawatan eksekutif khidmat pelanggan sebuah bank terkemuka, malah ketika ditanya berkenaan skop pekerjaan, syarikat itu meyakinkan saya bahawa pekerjaan tersebut tidak melibatkan jualan dan pemasaran.

“Selain itu, mereka turut menawarkan gaji bersih sebanyak RM2,500 dan menjanjikan tiada syarat wajib menjalankan sebarang jualan atau pemasaran insurans seperti mencari pe­langgan,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Jelasnya, dia yang cukup yakin dengan jawatan berkenaan kemudian menghadiri temu duga bersama calon-calon lain, sebelum terkejut dengan perubahan jawatan dan gaji yang dibuat oleh syarikat berkenaan.

“Apabila sampai di syarikat terbabit untuk ditemu duga, salah seorang penemu duga itu tiba-tiba menjelaskan bahawa gaji bersih untuk jawatan itu hanya RM1,500 selain pekerja yang diterima perlu menjalankan jualan insurans untuk mendapat komisyen tambahan.

“Malah, waktu kerja yang dijanjikan iaitu Isnin sehingga Jumaat juga berubah sehingga Sabtu dan dalam masa yang sama, saya juga perlu bekerja lebih dua jam setiap hari jika gagal mendapatkan pelanggan.

“Hal ini mengecewakan kerana tidak sejajar dengan perkara yang dinyatakan sebelum menghadiri temu duga,” ujarnya,

Sementara itu, perkara sama turut dialami Hidayah, 25, apabila dia turut ditawarkan jawatan yang sama tetapi di sebuah bank terkemuka dengan gaji bersih RM2,600.

Bagaimanapun, sebaik menghadiri temu duga dalam talian, agensi pekerjaan tersebut seolah-olah menukar fikiran dan menawarkan gaji lebih rendah.

“Saya menolak tawaran tersebut kerana gajinya tidak berpatutan dengan status saya yang mempunyai ijazah dalam bidang bisnes selain kecewa dengan sikap syarikat itu yang sangat tidak profesional,” katanya.

Bagi Qistina, 25, pula, dia pernah ditawarkan jawatan eksekutif komunikasi dan gaji akan dibayar dalam mata wang Amerika Syarikat (AS) sebelum menghadiri temu duga di sebuah bangunan yang meragukan.

“Saya kecewa kerana mereka hanya ingin menjadikan saya sebagai orang tengah untuk mengejar dan memaksa pelanggan membeli produk dan insurans seperti skim MLM (Multi Level Marketing).

“Walaupun saya telah menolak tawaran itu, syarikat tersebut tetap mengganggu dengan melakukan panggilan dan mesej spam sepanjang minggu.

“Saya saya terpaksa mengugut untuk melaporkan kepada polis kerana tidak tahan dengan tindakan mereka,” ujarnya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN