fbpx
Asmani menunjukkan gelang tangan dan dua bentuk cincin yang akan dijual ketika ditemui di Tumpat, Kelantan semalam.

Jual semula emas buat modal berniaga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kenaikan harga emas mencecah RM270 segram ketika ini mendorong orang ramai menjual koleksi barang kemas masing-masing untuk mendapatkan wang termasuk bagi tujuan perniagaan.

Rata-rata mereka membe­ritahu, ini masa yang sesuai untuk mendapatkan wang selepas perniagaan terjejas akibat pandemik Covid-19.

Di Tumpat, Kelantan, peniaga kedai makan, Asmani Ishak, 52, berkata, dia terpaksa membuat keputusan menjual barang kemas miliknya iaitu gelang ta­ngan dan cincin untuk menambah modal perniagaan.

“Pendapatan restoran saya merosot sejak beberapa bulan lalu. Saya sudah kehabisan ikhtiar untuk mendapatkan modal sebanyak RM5,000 bagi meneruskan kelangsungan perniagaan ini.

“Jadi saya buat keputusan menjual emas kerana harganya melambung sehingga RM255 segram di sini,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.

Menurut Asmani, hasil jualan seutas gelang emas dan dua bentuk cincin sebanyak RM5,200 yang bakal diperoleh itu sudah mencukupi untuk dijadikan modal pusingan perniagaan.

Berita berkaitan: Ramai untung jual emas

Jelas wanita itu, sebelum ini, dia pernah menggadai emas, namun gagal menebus semula. Sekiranya memperoleh keun­tungan selepas ini, dia akan membeli semula aksesori tersebut ketika harganya turun.

“Beli emas ini ibarat satu pelaburan dan boleh dijual sekiranya terdesak,” katanya.

Bagi pembeli emas, Ray Mat, 55, dia menerima panggilan daripada ramai pelanggan yang mahu menjual barangan kemas mereka sejak seminggu lalu ke­rana tidak mahu beratur panjang memandangkan terlalu ramai orang berkunjung ke kedai emas sejak seminggu lalu.

“Saya menetapkan harga emas terpakai sebanyak RM234 segram dan kebanyakan pelanggan bersetuju dengan tawaran itu. Setiap hari, saya menyediakan wang tunai RM10,000 hingga RM20,000 untuk membeli emas.

‘Kebanyakan pelanggan jual emas kerana mahu mendapatkan modal berniaga dan membaik pulih rumah yang terjejas banjir baru-baru ini,” katanya.

Di Sungai Petani, Kedah, suri rumah yang mahu dikenali sebagai Hafizah, 38, memberitahu, dia nekad menjual gelang emas berharga RM8,0000 untuk memulakan perniagaan tudung secara dalam talian pada awal bulan ini.

“Keadaan ekonomi makin mencabar, saya nekad untuk berniaga bagi membantu suami. Jadi saya korbankan gelang emas kerana tiada simpanan,”
katanya.

Pekerja swasta dikenali sebagai Siti Hajar, 30, pula berkata, dia menjual sebentuk cincin emas pada harga RM1,700 baru-baru ini selepas mengetahui harga emas naik RM240 segram.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN