PETALING JAYA – Tauke kedai emas di Kelantan dan Terengganu mendedahkan mereka terpaksa menyediakan lebih banyak wang tunai ekoran kebanyakan pelanggan kini bertindak menggadai barang kemas itu berbanding membelinya kerana harganya yang mencecah RM270 segram ketika ini.
Mereka mendakwa kenaikan harga logam bernilai tinggi itu disebabkan perang yang berlaku di Eropah antara Rusia dan Ukraine hingga menyebabkan pemilik barang kemas merebut peluang untuk mendapatkan untung hasil daripada pelaburan mereka.
Di Kota Bharu, harga emas mencapai RM255 segram kelmarin membuatkan ramai pelanggan mengambil peluang untuk menjual barang kemas mereka.
Rata-rata tauke kedai emas mengaitkan perang Rusia-Ukraine sejak beberapa minggu lalu telah mengakibatkan ketidakstabilan ekonomi dunia dan melonjakkan harga emas.
Pemilik kedai emas MZ Gold Kota Bharu, Murtadhatumizi Mustaphaa, 27, berkata, perniagaannya jatuh sebanyak 70 peratus sejak sebulan lalu apabila ramai yang datang hanya untuk menjual barang kemas sahaja.
Katanya, pelanggan bertindak demikian untuk mengaut keuntungan dan habuan kepada pelaburan yang dibuat sebelum ini.
“Kami beli emas pada harga RM240 segram. Jumlah itu sudah cukup membuatkan mereka mendapatkan untung sekiranya membeli barangan kemas pada hujung tahun lalu ketika harganya RM220 segram.
“Saya beli antara 500 hingga 1,000 gram sehari sejak dua minggu lalu melibatkan seramai 30 pelanggan. Ia jumlah yang banyak berbanding jualan emas,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Menurut Murtadhatumizi, kebanyakan pelanggan menjual emas bukan sebab terdesak mahu memakai duit tetapi disebabkan hendak untung dan akan membeli semula apabila harganya turun semula selepas ini.
Tambahnya, sebelum berlaku perang, harga emas stabil sekitar RM227 hingga RM235 segram.
“Saya menjangkakan harga emas akan kembali turun sekiranya Rusia dan Ukraine bersetuju untuk mengadakan gencatan senjata,” katanya.
Semantara itu, seorang peminat emas yang hanya mahu dikenali sebagai Zu, 45, berkata, dia mendapat untung RM1,500 hasil jualan barangan kemas miliknya.
“Biasalah pengumpul barang kemas jual semula bila harga tinggi. Keuntungan boleh digunakan untuk beli semula barang kemas apabila harga turun,” katanya.
Pemilik Lie & Sue Gold Diamond, W. Mohd. Yuslee Wan Yusoff, 35, pula berkata, dia pernah membeli emas sebanyak 800 gram bernilai RM234,000 sehari.
“Saya perlu bersedia dengan menyimpan wang lebih banyak di kedai untuk membeli emas dijual pelanggan. Sebab itu saya beritahu mereka supaya membuat janji temu sebelum datang,” katanya.
Tambah W. Mohd. Yuslee, setiap barang kemas yang dibeli akan dileburkan untuk dijadikan emas ketul yang boleh dijual pada harga RM269 segram.
Sementara itu, di Kuala Terengganu, pemilik kedai emas, Zakaria Yusof berkata, deretan kedai emas di Pasar Besar Kedai Payang semakin sepi ekoran tidak dikunjungi pelanggan walaupun pada hujung minggu.
Katanya, lonjakan harga emas gagal menarik minat pembeli kerana tahap kewangan pelanggan masih belum stabil ekoran tempias banjir musim tengkujuh baru-baru ini.
“Lonjakan harga emas adalah disebabkan senario global termasuk peperangan antara Rusia dan Ukraine. Harga emas dijangka meningkat sehingga RM330 segram hujung tahun ini,” katanya.
Seorang lagi peniaga emas, Nursheila Majid juga mengakui kedainya kekurangan pelanggan sejak kebelakangan ini dan berharap ia akan kembali pulih selepas pembukaan semula sempadan antarabangsa pada 1 April ini.
“Pembukaan sempadan negara akan memulihkan ekonomi dan meningkatkan kuasa membeli pengguna selain kedatangan Ramadan dan Syawal yang biasanya membuatkan orang membeli barang kemas untuk bergaya ketika beraya,” katanya.














