KUALA LUMPUR – Lima individu termasuk seorang lelaki bergelar Datuk dan sepasang suami isteri didakwa di Mahkamah Sesyen berasingan di sini hari ini atas 81 pertuduhan terlibat dalam pengubahan wang haram jutaan ringgit membabitkan sindiket pengeluaran Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).
Mereka ialah ahli perniagaan Datuk Ab. Aziz Abdullah, 44; kakaknya, Anita Abdullah, 47; dan suami, Muhammad Semail, 43. Dua lagi ialah Abu Yazid Mohd., 38, dan Mohd. Hariza Mohd. Yusof, 34.
Bagaimanapun kelima-limanya mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Suzana Hussin dan Azura Alwi.
Di hadapan hakim Suzana, Ab. Aziz didakwa atas 41 pertuduhan antaranya memiliki wang tunai dalam akaun lima anak lelakinya serta memiliki kenderaan mewah seperti GMC Yukon XL, Range Rover Sport, Mercedes Benz GLA dan Toyota Vellfire.
Selain itu, tertuduh turut memiliki beberapa buah rumah di kondominium dan apartmen di Jalan Bukit Setiawangsa dan Setapak di sini selain membeli ruang pejabat yang merupakan hasil daripada aktvitivi wang haram.
Di Mahkamah sama, Anita berdepan 15 pertuduhan iaitu memiliki wang dan menggunakan beberapa cek untuk membeli beberapa unit rumah kondominium serta beberapa unit lot kedai sekitar Taman Melati dan Taman Melawati di sini yang merupakan hasil aktiviti sama.
Bagi tertuduh Abu Yazid dia didakwa atas tiga pertuduhan iaitu memiliki wang simpanan dan memperoleh dua buah kereta mewah jenis Range Rover dan Mercedes Benz yang juga hasil aktiviti yang sama.
Sementara itu di hadapan hakim Azura, Muhammad didakwa dengan 11 pertuduhan pengubahan wang haram wang berjumlah RM1.72 juta selain terdapat matawang asing Euro (EUR) 1,300 dan pound strerling (GBP) 2,000 dipercayai hasil daripada aktiviti sama.
Muhammad juga turut didakwa bersama Abu Yazid sebagai pengarah Panorama Indeks Sdn. Bhd. memiliki wang tunai RM28,985 milik syarikat tersebut yang merupakan hasil aktiviti sama dan kesalahan didakwa dilakukan di CIMB Bank, Taman Melawati pada 6 April 2021.
Dalam pada itu, Mohd. Hariza pula didakwa atas sembilan pertuduhan memiliki wang berjumlah RM1.37 juta di dalam beberapa akaun bank dan menggunakan wang RM115,500 melalui sekeping ‘Banker Cheque’ CIMB Bank Berhad serta sekeping cek Public Bank Berhad sejumlah RM79,997.33 sebagai sebahagian daripada bayaran pembelian sebuah kereta jenis Toyota Vellfire yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.
Pada masa prosiding di hadapan hakim Azura itu, Mohd. Hariza dan Ab. Aziz turut didakwa bersama-sama memiliki wang tunai sebanyak RM559,779.15 di dalam akaun semasa CIMB Bank Berhad milik syarikat Sepakat Hidayah yang merupakan hasil daripada aktiviti haram di CIMB Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati pada 6 April 2021.
Mahkamah kemudian menetapkan 20 April ini untuk sebutan semula kes. -KOSMO! ONLINE