PETALING JAYA – Tahap kapasiti sistem perparitan khususnya di beberapa kawasan sekitar ibu negara perlu dikaji semula bagi mengelakkan kejadian banjir kilat terus berulang sekiranya hujan lebat berlaku secara berterusan.
Timbalan Pengarah Neksus Penyelidikan (Tenaga dan Alam Sekitar), Universiti Teknologi Mara, Prof. Dr. Wardah Tahir berkata, kajian semula itu membolehkan setiap kapasiti reka bentuk sistem perparitan mampu menampung isipadu air walaupun hujan lebat berterusan.
Menurutnya, kajian semula itu boleh memberi fokus kepada reka bentuk sistem perparitan di mana ketika ini kebanyakannya menggunakan konsep rekaan 50 tahun lalu.
“Sepatutnya, sistem itu boleh menampung jumlah yang yang banyak memandangkan purata isipadu air hujan yang turun ketika ini dilihat agak tinggi,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kejadian hujan lebat yang melanda ibu negara kelmarin hingga menyebabkan beberapa kawasan ditenggelami air selain banyak kereta turut tenggelam.
“Konsep rekaan itu merujuk kepada saiz sesebuah sistem perparitan, jika rekaan bercirikan 50 tahun, saiznya lebih kecil sekiranya dibandingkan dengan reka bentuk berkonsepkan 100 tahun.
“Jadi, ‘design capacity’ perlu dilihat semula supaya ia bertepatan dengan saiz sesuai seterusnya mampu menampung jumlah isi padu tinggi terutamanya ketika hujan lebat,” jelasnya.
Sementara itu, Konsultan Marin, Hidrologi dan Pengurusan Projek, Nik Abdullah Muaz Nik Mohd. Kamel berpandangan sistem perparitan dikaji semula agar selari dengan tahap pembangunan di ibu negara.
“Perparitan tersumbat dan pembangunan tidak terancang menyebabkan kejadian tersebut.
“Kapasiti konsep 100 tahun, tetapi selepas itu hujan turun melebihi jumlahnya iaitu mungkin melebihi purata 200 tahun dan sebagainya,” jelasnya.














