fbpx
Penduduk Kampung Sri Puchong terpaksa mengemas rumah mereka yang dilanda banjir kelmarin.

Banjir: Lima minit air sudah sampai pinggang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Hujan lebat lebih dua jam di Kuala Lumpur dan Selangor kelmarin telah mengakibatkan beberapa kawasan dinaiki air dan merosakkan harta benda.

Malah, beberapa kediaman di Selangor yang pernah dinaiki air pada banjir besar akhir Di­sember tahun lalu sekali terkena musibah itu.

Di Puchong, Selangor penduduk di Kampung Sri Puchong tidak menyangka hujan lebat petang kelmarin mengakibatkan air masuk ke dalam rumah hanya dalam masa lima minit.

Nur Naizatul Ain Mazlan, 28, berkata, ketika kejadian, dia bersama bayi berusia tiga bulan terpaksa redah air paras pinggang dan rumahnya sekali lagi kena banjir.

“Saya tidak sangka air naik begitu cepat, dalam lima minit sudah masuk rumah ke paras pinggang.

“Saya tidak sangka mengalami situasi yang sama selepas rumah dinaiki air pada bulan Disember tahun lalu,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Jelasnya, keluarganya masih bergelut untuk membina hidup baharu selepas banjir terdahulu telah mengalami kerugian mencecah lebih RM10,000 ekoran tidak bersedia menghadapi banjir di rumah yang selamat didiami hampir 20 tahun.

Katanya, ketika itu hampir kesemua barangan di dalam rumah tidak dapat diselamatkan, namun kejadian banjir terkini anggaran kerugian RM6,000 ke­rana banyak barangan baharu belum sempat dibeli.

Nur Naizatul Ain membersihkan kediamannya semalam.

Seorang lagi penduduk di situ, Fakaruddin Mohamad, 37, berkata, dia hanya mampu menyelamatkan motosikal, kereta dan dokumen penting saja, namun barangan kelengkapan rumah lain terpaksa ditinggalkan kerana air sangat laju.

“Banyak barang telah dibuang selepas banjir sebelum ini jadi rumah masih kosong, namun barangan seperti tilam baharu yang dibeli sebulan lalu serta perabot rosak balik,” katanya.

Di Shah Alam pula, penduduk di sekitar Kampung Bukit Lanchong lebih bersedia dengan bertindak pantas mengeluarkan kenderaan mereka ketika hujan lebat kelmarin.

Malah, penduduk juga didapati membawa dan menyimpan barangan keperluan seperti beras ke lokasi lebih tinggi.

Seorang penduduk, Latifah Suraya Yahaya, 35, berkata, ahli keluarganya telah letak lima buah kenderaan mereka di jalan masuk ke kampung itu dari Putra Heights kira-kira dua kilometer dari rumahnya.

Katanya, tindakannnya itu susulan pesanan diberikan ke­tua kampung menerusi aplikasi WhatsApp ekoran paras air ­Sungai Klang telah naik sehingga paras tebing.

Di Kuala Lumpur pula, Zubaidah Mansor, 38, berkata, dia ha­nya sedar kereta miliknya sudah tenggelam apabila diberitahu rakan sekerja sekitar pukul 3.30 petang.

“Hujan lebat di luar sekitar pukul 2 petang, saya tengah siapkan kerja kerana yakin kawasan parkir kereta selamat.

“Saya mula panik apabila rakan sekerja beritahu semua kereta di tempat parkir tenggelam,” jelasnya.

Kelmarin hujan lebat selama dua jam membawa intensiti purata hujan melebihi 106 mili­meter (mm) iaitu lebih setengah purata 200 mm hujab sebulan di Lembah Klang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN