fbpx
FESYEN memberi ruang buat orang ramai untuk melihat apa yang kita gayakan.

Gaya fesyen pengaruhi hidup manusia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh FAIZAL HAMID

FESYEN mempunyai aura dan gaya hidup untuk memenuhi fantasi. Sama ada diakui atau tidak, kita sememangnya ‘memburunya’, musim berganti musim, tahun berganti tahun. Mengapa kita lakukannya?

Tentunya kerana keinginan untuk memperbaharui penampilan diri, mewujud dan memantapkan identiti mengikut kemahuan untuk mendapatkan pengaruh dan membuat teman-teman lebih tertarik serta menyenangi kita.

Fesyen menyediakan kita dengan ritual yang memberikan kita keyakinan untuk menyatakan: “Look at me. This is who I am.”

Ikon fesyen memberikan apa yang kita mahukan, sebelum kita sendiri sedar apa kemahuan sebenarnya.
Inilah ironi penjenamaan, ia bekerja secara senyap hampir tidak dapat dilihat, sealiran dengan fesyen itu sendiri.

Fesyen secara zahirnya membabitkan pakaian dipakai, tarian yang kita tarikan, kereta yang kita pandu, gaya potongan rambut serta pelbagai aspek lain.

1. Gaya hidup

Fesyen mempengaruhi gaya hidup dan memberi kesan pada setiap peringkat kehidupan.

Fesyen merupakan keinginan untuk berubah dan ini menjadikannya sebahagian daripada asas kehidupan.

Manusia mula menutup tubuh mereka untuk memanaskan badan dan supaya kelihatan sopan, tetapi perhiasan dan dekorasi telah dulu menjadi aspek penting dalam berpakaian.

Tekanan daripada rakan-rakan dan perubahan gaya hidup mempengaruhi jenis perhiasan yang dapat diterima pada sesuatu masa, zaman atau kelompok masyarakat.

2. Menghias diri

Pada asasnya, tujuan manusia berpakaian masih tidak berubah dahulu hingga kini. Hari ini, kita masih memakai pakaian yang tidak mencolok mata, tetapi pilihan dalam berpakaian dipengaruhi oleh keinginan untuk menghias diri.

Pakaian adalah medium komunikasi yang paling jelas dan berpengaruh.

Hanya melihat gaya berpakaian, kita boleh mengandaikan tentang status sosial, identiti jantina, orientasi politik, etnik, gaya hidup dan keutamaan estetik mereka.

Antara ciri fesyen yang hebat adalah ia sentiasa berubah dan tidak statik.

Ia berlaku terlalu cepat, sesuatu yang in fashion boleh bertukar menjadi out of fashion pada bila-bila masa.

Apa yang kita lihat, mungkin pereka membuat perubahan ini mengikut mood dan kehendak hati, tetapi realitinya rekaan mereka hanya akan diterima masyarakat jika ia benar-benar dapat mencerminkan zaman atau dekad pada waktu itu.


PAKAIAN adalah medium komunikasi yang paling jelas dan berpengaruh.

3. Ikutan fesyen

Hari ini, bahasa fesyen dipertuturkan dari New York hingga ke Tokyo dan ia sudah pergi jauh dari tempat yang dikatakan asalnya iaitu Perancis.

Aliran fesyen terbaharu mungkin datang dari London, India, Hong Kong atau tidak mustahil nanti mungkin dari Kuala Lumpur, tetapi mungkin juga datangnya bukan daripada idea pereka.

Kini bahagian pemasaran dan promosi dalam sesuatu organisasi sentiasa mempromosi nama sesiapa jua sehingga ia menjadi sebutan dan ikutan.

Apa sahaja barangan seperti baju-T hingga kasut sukan boleh menjadi kegilaan peminat fesyen.

Mungkin fenomena ini yang mendefinisikan budaya moden, apapun terpulang pada perspektif masing-masing,
Inilah dikatakan keajaiban penjenamaan fesyen yang sentiasa cuba mengumpan dan meraih perhatian pembeli.

4. Bermula keajaiban

Koleksi yang telah siap diserahkan kepada kumpulan kreatif dan di sinilah bermulanya keajaiban.

Pereka kreatif, pengarah seni, penata gaya (stylist) dan pereka grafik akan memulakan peranan mereka dengan pemilihan skema warna.

Pengenalan ataupun cerita untuk pakaian tersebut serta aksesori dan padanan yang menjadi pelengkap gaya seseorang.

Sememangnya warna mempengaruhi mood dan ia mencerminkan personaliti dan keperibadian setiap individu.

5. Pentas peragaan

Saksikan kekuatan imej fotografi serta rekaan yang menjadi the flesh and bones of a brand yang diperagakan peragawati atau peragawan dalam majalah, di pentas peragaan dan di jalanan.

Sama penting logo, label, handtag, pembungkusan (packaging) dan katalog. Kemudian perkara sampingan bagi pihak publisiti seperti cenderamata, jemputan dan sebagainya.

Akhirnya, istana jenama tersebut, iaitu gedung yang mana rekaan itu dipamer dan dijual kepada umum.

Di tangan mereka yang pakar, elemen-elemen tersebut akan mendapat sambutan luar biasa di pasaran.

Apa yang pasti, manusia akan terus menikmati keseronokan dengan fesyen terkini.
————————————————————————————————————————————————–
FAIZAL HAMID ialah Pensyarah Kanan Jabatan Fesyen, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor.

 

POPULAR

BERITA BERKAITAN