fbpx

Hidup berubah selepas jatuh pokok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HELMI kini banyak bergantung kepada bantuan ibunya untuk melakukan aktiviti harian selepas kaki kanannya lumpuh akibat terjatuh dari pokok manggis di Kampung Semarang, Dengkil baru-baru ini.

DENGKIL – Seorang pemuda tidak menyangka tindakannya memanjat sebatang pokok mang­gis di belakang rumah keluarga telah meninggalkan detik hitam yang mengubah keseluruhan rutin kehidupannya.

Helmi Samudin, 33, dari Batu 30, Kampung Semarang di sini berkata, kejadian terjatuh dari pokok manggis pada Julai lalu dengan niat untuk mendapatkan sedikit wang saku mengakibatkan dia lumpuh seumur hidup.

“Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, saya memanjat sebatang pokok manggis yang berada di belakang rumah bagi tujuan untuk dijual, namun akibat kecuaian, saya tergelincir dan terjatuh dari ketinggian kira-kira lima meter.

“Susulan kejadian itu, beberapa bahagian tulang belakang dan buku lali telah patah dan saya terpaksa melalui beberapa siri pembedahan untuk mengelak keadaan menjadi le­bih teruk,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini baru-baru ini.

Semasa sesi ziarah oleh pihak Kosmo! yang turut disertai oleh badan bukan kerajaan (NGO) Pewaris Warisan Penawar Dengkil, Helmi mengakui, masih dihantui oleh kejadian itu, malah kaki kanannya yang kini lumpuh masih terasa sakit sehingga menyukarkannya untuk melakukan aktiviti harian.

Anak kedua daripada lima beradik itu berkata, dia juga hilang keupayaan untuk berjalan dan bergantung sepenuhnya kepada kerusi roda untuk bergerak selepas kaki kanannya tidak lagi mampu digerakkan.

“Saya masih dalam proses terapi di Hospital Serdang dan tragedi itu telah memaksa saya untuk berhenti kerja dari sebuah syarikat kurier.

“Segala aktiviti harian saya perlu bergantung kepada bantuan ibu, Siti Hamidah Mohd. Kasan, 57, dan ayah, Samudin Moin, 59, yang kedua-dua mereka tidak lagi bekerja,” ujarnya.

Jelas Helmi, rutin hariannya hanyalah menanti waktu untuk ke hospital bagi menjalani sesi terapi dan menyesuaikan diri dengan keadaan dirinya yang kini tidak mampu lagi untuk berdiri dan berjalan seperti orang lain.

“Tidak banyak yang boleh dilakukan selain fokus kepada sesi terapi bagi memudahkan saya untuk membiasakan diri dengan keadaan sekarang. Kini, saya bimbang memikirkan masa depan kerana sudah pasti lebih sukar untuk mendapatkan sebarang pekerjaan selepas ini.

“Saya dimaklumkan saya tidak layak untuk mendapat bantuan zakat dan kami sekeluar­ga juga sedang menunggu maklum balas permohonan bantuan daripada pihak Jabatan Kemajuan

Masyarakat memandangkan saya kini seorang orang kelainan upaya (OKU),” jelasnya.

Sementara itu, orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun CIMB milik Helmi 7631912252 atau menghubungi­nya di talian 011-2118 0232. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI