fbpx
ORANG ramai berjalan di Bandar Raya Mexico pada 16 Januari lalu. - AFP

Penduduk dunia semakin gemuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON – Anggaran baharu global menyatakan bahawa bilangan penduduk yang mengalami obesiti atau kegemukan melampau dijangka melepasi angka satu bilion menjelang 2030, lapor laman berita Wion News kelmarin.

Mana-mana negara di dunia dikatakan tidak berada pada landasan yang betul untuk memenuhi sasaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam menghentikan obesiti menjelang 2025.

Angka membimbangkan  itu dilaporkan oleh Persekutuan Obesiti Dunia (WOF) menerusi carta obesiti keempat global.

Menurut laporan itu, seorang dalam setiap lima wanita dan satu daripada setiap tujuh lelaki diramalkan menjadi obes menjelang 2030.

Kadar kegemukan tertinggi dikesan  di rantau Amerika Utara, Amerika Latin dan Caribbean.  Menurut laporan sama, hampir separuh daripada penduduk Amerika Syarikat (AS) atau sebanyak 47 peratus dijangka mengalami obesiti menjelang 2030.

“Angka dalam laporan ini adalah mengejutkan, namun apa  yang lebih mengejutkan adalah tindak balas kita  yang tidak mencukupi,’’ kata Ketua Eksekutif WOF, Johanna Ralston seperti yang disiarkan  akhbar The Guardian.

“Setiap orang mempunyai hak asas untuk akses kepada pencegahan, rawatan dan pengurusan yang berkesan buat mereka bagi menangani obesiti. Sekarang adalah masa untuk tindakan bersama, tegas dan berpaksikan kepada rakyat,’’ jelas beliau.

Kajian tersebut seterusnya menganggarkan seramai 74 juta wanita di  Benua Afrika akan mengalami obesiti  pada 2030 berbanding 26 juta dalam  2010.  Anggaran untuk lelaki pula adalah 27  juta pada 2030.

Di Afrika Selatan pula, separuh daripada wanita di negara iru diramal menjadi obes  menjelang 2030.

Penasihat WHO untuk Afrika, Dr. Adelheid Onyango berkata, peningkatan obesiti  di Afrika akan menjadi dramatik disebabkan kadar obesiti di benua berkenaan pada masa dahulu adalah rendah. 

“Kami melihat peningkatan dalam amalan diet  tidak sihat. Dasar dan sistem kawal selia untuk makanan yang diproses, tinggi kandungan lemak dan bergula pula lemah di kebanyakan negara di Benua Afrika,’’ jelasnya.

Kata Onyango, perkembangan itu mendorong kepada peningkatan obesiti jika dibandingkan dengan negara-negara maju yang memiliki lebih banyak peraturan mengenai makanan dan kesedaran orang awam.  – Agensi

 

POPULAR