MALAYSIA Airlines Berhad (MAB) sering dilihat sebagai sebuah syarikat penerbangan nasional yang hebat dan terulung ketika zaman kemegahan dan kegemilangannya suatu ketika dahulu.
Mungkin pada ketika itu, ia tidak mendapat saingan seperti yang ada sekarang termasuk daripada syarikat penerbangan murah.
Syarikat penerbangan itu sebelum ini beberapa kali distruktur semula atas sebab-sebab mengalami kerugian dan kini di bawah pengurusan baharu, MAB dikatakan telah bangkit untuk kembali gah semula seperti sebelum ini.
Minggu ini, menerusi kolum Wawancara Kosmo! Ahad membawakan Ketua Pegawai Eksekutif MAB, Kapten Izham Ismail yang bercakap soal perancangan masa depan, komitmen dan pencapaian terkini yang telah dilalui syarikat berkenaan dalam mengharungi cabaran terkedepan dalam industri penerbangan negara dan global.
—————————————————————————————————————————————————————
MENJADI syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines Berhad (MAB) merupakan satu kebanggaan negara. Sejak sekian lama MAB telah menawarkan penerbangan ke pelbagai destinasi di seluruh dunia. Namun begitu, sejak munculnya syarikat penerbangan murah lain, ia sedikit sebanyak telah memberi kesan kepada Malaysia Airlines sendiri, ditambah pula dengan penularan pandemik Covid-19.
Walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran, MAB terus terbang ke udara menawarkan perkhidmatan terbaik buat pelanggannya.
Bagi membincangkan tentang cabaran serta strategi yang diambil oleh syarikat penerbangan itu untuk terus bertahan, wartawan Kosmo! Ahad, FARID AHMAD TARMIJI berkesempatan menemu bual Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines Berhad (MAB), Kapten Izham Ismail baru-baru ini.
KOSMO! AHAD!: Sebagai sebuah syarikat penerbangan yang menjadi kebanggaan negara sejak puluhan tahun lalu, apa masalah terbesar MAB hingga terpaksa distruktur berapa kali sebelum ini dan langkah-langkah yang diambil untuk mengembalikan semula kegemilangannya sebelum ini?
KAPTEN IZHAM: Sejak berdekad lamanya, MAB menanggung pelbagai kos dan liabiliti besar yang terlalu berat untuk penyata imbangannya.
Syarikat mempunyai kontrak-kontrak berat sebelah yang tidak menguntungkan, malah memberi bebanan kepada penyata imbangan.
Penstrukturan sebelum ini tidak memberi fokus kepada perkara ini. Walaupun pemotongan kos dilakukan, kos sedia ada yang terikat dengan perjanjian berat sebelah sentiasa tercatat dalam penyata kira-kira.
Bermula 2018, kami melakukan pelbagai penambahbaikan dalam produk dan perkhidmatan, di samping strategi pemasaran lebih agresif yang membantu syarikat memecah rekod catatan hasil (revenue) terbaik dengan peningkatan 7 peratus pada suku kedua hingga keempat 2019. Penstrukturan pada 2020 bertujuan menangani masalah legasi ini.
Kami dengan telus dan terus-terang duduk semeja dengan lebih 40 pemiutang untuk menyusun semula kontrak dan memastikan keadilan bagi kedua-dua belah pihak.
Ia mengambil kira suasana pasca pandemik yang mengubah kehendak dan permintaan pelanggan.
Ia dijalankan secara holistik untuk memelihara kelestarian perniagaan jangka masa panjang MAB dan syarikat-syarikat lain di bawah naungan syarikat induknya, Malaysia Aviation Group (MAG).
MAG telah berjaya mencatat pengurangan dalam liabiliti Kumpulan lebih RM15 bilon dan penghapusan hutang RM10 bilion.
Selain itu, MAG juga mencapai RM5.7 bilion dalam jumlah penjimatan atau pengelakan kos pada 2020.
Kita adalah syarikat penerbangan kedua di dunia dan pertama di rantau ini yang berjaya menjalankan penstrukturan semula dan diluluskan mahkamah United Kingdom semasa pandemik sedang di kemuncaknya.
Terdapat syarikat penerbangan di beberapa negara muflis akibat Covid-19. Bagaimana Kapten melihat situasi itu dalam konteks MAB tentang masa depan sektor penerbangan negara untuk terus bersaing di pasca pandemik?
Industri penerbangan sebuah industri sangat sengit, yang mana pada 2019, semua syarikat penerbangan di Malaysia mencatat kerugian besar kerana persaingan yang tidak dikawal selia.
Dengan populasi penduduk hanya 32 juta orang, negara mempunyai empat syarikat penerbangan yang bersaing bersama syarikat penerbangan antarabangsa lain di bawah open sky policy yang diguna pakai oleh negara.
Bekalan kapasiti tempat duduk melebihi 1.7 kali permintaan, menyebabkan lebihan tempat duduk, di samping perang harga tidak rasional yang akhirnya merugikan syarikat-syarikat penerbangan.
Krisis pandemik ini sebenarnya memberi ruang kepada pemain-pemain industri termasuk pengawal selia untuk melihat semula polisi yang selama ini kurang membantu.
Dunia pasca pandemik sudah berubah, kita perlukan polisi berkaitan pengurusan kapasiti bagi memastikan semua pemain dapat bersaing secara adil.
Apa status dan perkembangan Pelan Perniagaan Jangka Panjang 2.0 (LTBP 2.0) Kumpulan, ketika sektor penerbangan kekal lemah dan pemulihan daripada pandemik mungkin mengambil masa lebih lama dengan kemunculan varian baharu. Adakah MAG masih optimis untuk mencatatkan pulangan modal dan aliran kewangan positif menjelang 2023?
Tahun 2021 adalah tahun sangat baik bagi MAG.
Berdasarkan keputusan kewangan sebelum audit, syarikat berjaya mengakhiri 2021 dengan mengatasi bajet sebanyak 20 peratus.
Kejayaan penstrukturan semula MAG meletakkan aliran tunai syarikat dalam kedudukan positif sejak Oktober tahun lalu.
Di samping itu, beberapa parameter penting seperti Indeks Kepuasan Pengguna (CSI) mencatatkan bacaan yang baik, sekali gus memberi petunjuk MAG dalam landasan trajektori perniagaan jangka panjang.
Setakat ini, jumlah terkumpul aliran tunai kami RM2 bilion.
Penyumbang kukuh kepada MAG dalam tempoh 22 bulan lalu ialah melalui perniagaan kargo serta pembaikan dan baik pulih (MRO).
Perniagaan kargo menjana pendapatan sebanyak RM3.07 bilion, meningkat sekali ganda berbanding paras sebelum ini iaitu 2019, sekitar purata RM1.4 bilion.
Krisis ini memberi kami peluang untuk menetapkan semula model perniagaan kami.
Banyak inisiatif telah dilancarkan untuk menyediakan tenaga kerja kami dengan set kemahiran baharu untuk menjadi lebih cekap dalam peranan semasa mereka atau beralih ke jawatan baru muncul serta menyokong matlamat perniagaan.
Kami telah melancarkan Journify, platform digital perjalanan sehenti dan gaya hidup bersepadu untuk mewakili portfolio perniagaan e-dagang dan perkhidmatan pelancongan, memfokuskan pada penyediaan penyelesaian perjalanan hujung ke hujung, untuk melengkapkan kekuatan dan kepakaran Kumpulan dalam syarikat penerbangan dan perkhidmatan penerbangan perniagaan.
Untuk kami kembali kepada prestasi kewangan prapandemik menjelang suku keempat 2023, kami yakin selain dari langkah berterusan yang ditetapkan, produk yang tepat dalam pasaran ditambah dengan kecemerlangan perkhidmatan melalui Malaysian Hospitality yang mantap dan mendukung Kempen MHFlySafe di seluruh Kumpulan.
Kami dapat memberi keyakinan dan kepercayaan dalam pasaran dan pada masa sama, menarik pelanggan baharu yang boleh membantu mencapai pulangan modal lebih awal daripada yang dirancang.
Kami jelas dalam visi kita untuk menjadi Kumpulan Perkhidmatan Perjalanan dan Penerbangan Terkemuka Asia, yang memberi tumpuan pada penyampaian penyelesaian perjalanan hujung ke hujung yang disesuaikan.
Berpaksikan pada LTBP 2.0 kita, tiga aliran perniagaan kita adalah terdiri daripada Perniagaan Penerbangan, Perkhidmatan Penerbangan dan e-Dagang dan Perkhidmatan Pelancongan.

MAB akan mengaktifkan semula pengambilan juruterbang dan kru kapal secara progresif bagi memenuhi keperluan operasi memandangkan banyak sektor ekonomi kembali pulih. – GAMBAR HIASAN
MAB dilaporkan membuat pajakan jangka panjang untuk 25 pesawat Boeing 737 baru-baru ini, dengan penghantaran pertama pada awal 2023. Boleh perincikan jumlah armada dan kadar penggunaan pesawat MAG ketika ini, dan apa kesan terhadap Kumpulan sekiranya pembukaan sempadan antarabangsa mengambil masa lebih lama, melangkaui 2023?
Malaysia Airlines memiliki 74 armada yang terdiri daripada 47 buah Boeing 737-800, 6 buah Airbus 330-200, 15 buah Airbus 330-300 dan 6 buah Airbus 350-900XWB.
Sebagai pemain utama industri penerbangan tanah air dan juga industri pelancongan secara amnya, kami perlu terus memainkan peranan penting dalam memastikan kesalinghubungan dan dalam jangka panjang, industri akan bertahan dalam satu bentuk yang lain.
Namun, kami yakin dengan kejayaan negara dalam memperbaiki sektor pelancongan melalui gelembung pelancongan dan sebagainya sebagai persiapan bagi pembukaan sempadan antarabangsa secara berperingkat atau keseluruhan.
Kenapa MAG mengambil keputusan untuk membuat pajakan tersebut, sedangkan pesawat yang ada sebelum ini tidak digunakan sepenuhnya lagi?
Pesawat B737 MAX mempunyai kecekapan tersendiri sejajar dengan inspirasi kelestarian syarikat dalam mengurangkan pelepasan karbon.
Pada masa ini, 188 negara membenarkan operasi pesawat 737 MAX di ruang udara mereka dan hampir 40 syarikat termasuk Singapore Airlines dan Turkish Airlines memiliki kapal jenis ini.
Di peringkat global, pesawat 737 MAX telah melengkapkan hampir 400,000 penerbangan (revenue flights), dengan 1 juta jumlah jam penerbangan direkodkan setakat 1 Mac 2022.
Selain itu, 737-8 adalah kunci kepada LTBP2.0 dengan penawaran produk unggulnya dan prestasi armada lebih baik termasuk meningkatkan kecekapan bahan api sehingga 15 peratus.
Ini sejajar dengan perjalanan kemampanan kami, di samping membolehkan MAB dengan lebih fleksibiliti dan ketangkasan untuk melaksanakan strategi rangkaian masa hadapan kami.
Adakah Kumpulan memiliki perancangan untuk mempelbagaikan sumber pendapatan selain industri penerbangan dan sejauh mana sumbangan perniagaan dari sektor bukan penerbangan kepada perolehan Kumpulan?
MAG mempunyai tiga pusat keuntungan iaitu perniagaan syarikat penerbangan yang meliputi Malaysia Airlines, Firefly, MASwings dan AMAL (perkhidmatan khusus bagi jemaah umrah dan haji), perniagaan perkhidmatan penerbangan seperti penyelenggaraan, MRO, kargo, pengendalian operasi darat dan pusat latihan sehenti industri hospitaliti iaitu MAB Akademi.
Terbaharu, kami baru melancarkan Journify, platform e-dagang digital sehenti yang menyediakan penyelesaian dan perkhidmatan menyeluruh bagi perjalanan, sekali gus melengkapkan kekuatan dan kepakarannya dalam perniagaan perkhidmatan sistem penerbangan.
Kami menjangkakan, hasil bukan syarikat penerbangan akan menyumbang kira-kira 25 peratus kepada hasil kumpulan menjelang 2025, berbanding kira-kira 12 peratus hingga 15 peratus sekarang.
Pasaran domestik bakal menerima kehadiran dua pemain baharu tahun ini, satu berhasrat memberi perkhidmatan kepada segmen kurang mendapat layanan, manakala sebuah lagi dikatakan akan menawarkan perkhidmatan tambang murah. Apa komen tentang kehadiran pesaing baharu ini dan sejauh mana boleh beri impak kepada industri?
Industri penerbangan merupakan antara industri yang terkesan akibat Covid-19 dan kami tidak terkecuali.
Masih terlalu awal untuk kami melihat kesan atau impak kepada industri secara keseluruhan.
Namun begitu, kami berpendapat, penyertaan syarikat penerbangan baharu akan memenuhi pasaran dengan kapasiti yang tidak diperlukan, di samping memberi saingan kepada syarikat penerbangan lain yang beroperasi di Malaysia.
Pengawal selia dan pembuat dasar perlu benar-benar jelas tentang apa yang mereka mahu lakukan dan membuat penilaian sama ada syarikat penerbangan baharu benar-benar memberi nilai kepada negara.

Sejak pandemik Covid-19 melanda dunia dua tahun lalu, syarikat penerbangan di seluruh dunia amat terkesan termasuk MAB kerana pada ketika itu, tiada pesawat boleh diterbangkan. Ramai juruterbang dan kru kabin terpaksa diberhentikan. Pada masa ini, banyak syarikat telah beroperasi semula. Bagaimana nasib pekerja yang sebelum ini menganggur, adakah mereka akan dipanggil semula untuk bertugas?
Di MAB, kami tidak pernah memberhentikan kakitangan di sepanjang krisis pandemik ini.
Walau bagaimanapun, pihak syarikat telah mengambil langkah alternatif melibatkan pemotongan gaji sebanyak 10 peratus hingga 60 peratus bagi kakitangan daripada pengurusan termasuk juruterbang.
Memperkenalkan program cuti tanpa gaji dan rundingan semula tempoh kontrak bagi kakitangan kontrak berumur 60 tahun ke atas termasuk juruterbang asing yang melibatkan jumlah kecil, dalam usaha mengekalkan kelangsungan perniagaan dan melindungi kebajikan kakitangan berpendapatan rendah.
MAB juga akan mengaktifkan semula pengambilan juruterbang dan kru kapal secara progresif bagi memenuhi keperluan operasi memandangkan banyak sektor ekonomi telah kembali pulih.















