fbpx

Serangan di Zaporizhzhia berisiko cetus krisis radiasi terbesar dalam sejarah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR menunjukkan rakaman di loji janakuasa nuklear Zaporizhzhia ketika diserang oleh Rusia. - AFP

KIEV – Pengawal selia nuklear Ukraine kelmarin memberi amaran berkenaan kerosakan loji janakuasa nuklear terbesar di Eropah yang boleh mencetuskan kebocoran radiasi terbesar dalam sejarah, lapor akhbar The Sun UK semalam.

Loji janakuasa nuklear di bandar Enerhodar, selatan Ukraine itu berada di bawah kawalan tentera Presiden Vladimir Putin selepas serangan yang berterusan semalam.

Rakaman kamera keselamatan di loji berkenaan yang terletak 51.5 kilometer dari bandar keenam terbesar Ukraine, Zaporizhzhia menunjukkan api dan asap keluar dari beberapa bangunannya.

Menurut Inspektorat Kawal Selia Nuklear Ukraine, walaupun tiada perubahan tahap radiasi dilaporkan, masih ada risiko yang berpunca daripada kerosakan kemudahan-kemudahan penyejuk dan bekas-bekas simpanan bahan api di tapak itu.

Agensi itu berkata, sebarang kehilangan keupayaan stesen janakuasa untuk menyejukkan bahan api nuklear akan membawa kepada pembebasan radioaktif yang ketara pada alam sekitar.

Peristiwa sedemikian mungkin mengatasi skala kemalangan nuklear yang sebelum ini berlaku di mana-mana loji tenaga nuklear dunia termasuk di Chernobyl dan Fukushima Daiichi. 

Agensi itu bagaimanapun tidak menyatakan jika ada kemudahan penyejukan di tapak itu yang telah rosak akibat serangan Rusia.

Empat daripada enam unit loji sedang disejukkan, manakala satu ditutup dan satu lagi masih  beroperasi.

Pengawal selia menambah bahawa bahan api nuklear yang terdedah dan disimpan di tapak itu bakal menimbulkan risiko selanjutnya. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI