KLANG – Sepasang suami isteri didenda keseluruhan RM11,000 di dua mahkamah majistret berasingan hari ini selepas mengaku bersalah atas empat pertuduhan berhubung penipuan dan menyembunyikan wang mangsa dalam penjualan kereta lelongan kastam, lima tahun lalu.
Mohd. Farij Johari, 36, dan Rozana Mohammad Radzi, 41, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret P. Sarulatha dan Amirul Asyraf Abdul Rasid.
Sekiranya gagal membayar, Mohd. Farij dan Rozana masing-masing boleh dipenjara selama tujuh dan tiga bulan.
Berdasarkan keputusan kes, Sarulatha memutuskan denda RM8,000 manakala Amirul Asyraf mengenakan denda RM2,000 kepada Mohd. Farij. Sementara, Rozana didenda RM1,000 oleh Amirul Asyraf.
Pasangan suami isteri turut mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noorjidah Mohd. Jusan namun hukuman ditetapkan pada 8 April depan bagi menunggu fakta kes daripada pihak pendakwaan.
Berdasarkan pertuduhan, Mohd. Farij didakwa memperdayakan dua individu sehingga mendorong mereka memindahkan wang berjumlah RM3,300 ke akaun miliknya untuk pembelian kereta lelong kastam jenis Toyota Vellfire dan Hiace yang tidak wujud.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di dua buah bank berasingan di Jalan Meru, dekat sini pada pukul 11.16 pagi, 14 Julai 2017 dan 8.55 malam, 13 Ogos 2017.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Rozana yang tidak bekerja didakwa menolong menyembunyikan wang berjumlah RM3,500 milik dua individu ke dalam akaun miliknya di dua buah bank di Jalan Meru dan Bukit Tinggi pada 13 dan 23 Ogos 2017.
Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Dalam rayuannya, Mohd. Farij yang merupakan pesakit tibi merayu hukuman denda lebih ringan memandangkan dia seorang yang menyara keluarga dan perbuatan itu terpaksa dilakukan kerana berada dalam kesusahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Nur ‘Ayuni Jamri, Nur Sabrina Zubairi dan Ahmad Faiz Abd. Raoff manakala pasangan suami isteri itu diwakili peguam bela daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK). -KOSMO!ONLINE














