fbpx

Presiden Ukraine tuduh Putin guna bom kluster

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kenderaan tentera jenis BMP-2 bersiap sedia di pinggir bandar Kiev ketika tentera Rusia mara ke bandar itu. – AFP

KIEV, Ukraine – Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy menuduh Rusia melakukan jenayah perang selepas tentera Presiden Vladimir Putin melancarkan serangan bom kluster dan bom  vakum pada hari kelima pencerobohan Moscow kelmarin, lapor akhbar MailOnline.

Dalam ucapan lewat malam  Zelenskyy  berkata,  ‘tribunal antarabangsa akan pasti melancarkan siasatan’ berhubung apa yang dikatakannya sebagai ‘pelanggaran semua konvensyen’ oleh Rusia dan menambah, ‘tiada sesiapa di dunia  akan memaafkan Moscow  kerana membunuh rakyat Ukraine yang cintakan keamanan.’

Dalam usaha untuk meneruskan semula kemaraan tenteranya, Putin melancarkan kempen pengeboman rambang di bandar Kharkiv, timur Ukraine, hanya 24 jam selepas penentangan tempatan berjaya menangkis serangan Rusia.

Bom dan peluru artileri  menghujani bandar paling mesra Rusia di Ukraine itu yang terletak 40 kilometer dari sempadan Rusia dan didiami oleh 1.5 juta orang dalam usaha Moscow untuk menghapuskan penentangan terhadap tenteranya.

Hujan peluru artileri, roket dan bom yang bermula pada waktu makan tengah hari itu menyebabkan sekurang-kurangnya 11 orang maut termasuk tiga kanak-kanak, dengan  sejumlah kediaman dan sebuah sekolah runtuh.

Sumber tentera memberitahu MailOnline bahawa rakaman video serangan itu menunjukkan Rusia menggunakan bom kluster yang menyalahi undang-undang antarabangsa.

“BM-21 Grad ialah sistem pelancar roket yang menggugurkan bom kluster di kawasan tumpuan.

“Bom kluster digunakan terhadap tentera musuh sebelum serangan bermula. Jika digunakan ke atas orang awam, ia bukan sahaja jenayah perang tetapi penggunaannya mempunyai satu tujuan ssahaja iaitu untuk menyebarkan keganasan dan ketakutan kepada penduduk,” kata sumber itu.

Lewat hari yang sama kelmarin, duta Ukraine ke AS, Oksana Markarova  pula  mendakwa bahawa Rusia menggunakan bom vakum terhadap Ukraine.

“Mereka menggunakan bom vakum hari ini (kelmarin)  yang  dilarang oleh konvensyen Geneva. Kemusnahan yang cuba ditimbulkan oleh Rusia ke atas Ukraine adalah besar,” katanya. 

Bom vakum  yang juga dikenali sebagai senjata termobarik,  boleh mengewapkan jasad dan menghancurkan organ dalaman manusia.

Senjata itu menggunakan oksigen dari udara sekeliling untuk menghasilkan letupan suhu tinggi, dan gelombang  dalam tempoh yang lebih lama daripada bom konvensional.

Ia adalah antara senjata bukan nuklear paling berkuasa pernah dicipta.

Markarova membuat kenyataan itu selepas ketua pendakwa aya  Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC)  berkata,  beliau akan membuka kertas siasatan ‘secepat mungkin’ tentang kemungkinan tentera Rusia melakukan  jenayah perang dan jenayah kemanusiaan di Ukraine. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI