fbpx

Kajian Dr. Yee Xing tentang ulam raja raih anugerah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KAJIAN yang dijalankan membolehkan Dr. Yee Xing mendapat Anugerah Emas Kedoktoran daripada UKM sewaktu konvokesyen yang ke-49 universiti itu November lalu.

RASANYA yang enak biarpun dimakan segar tanpa perlu dimasak menyebabkan tumbuhan ulam raja sering menjadi pilihan masyarakat untuk dinikmati bersama lauk-pauk ketika makan tengah hari.

Tambahan pula ulam raja kaya dengan pelbagai khasiat kerana dikatakan mampu mengawal beberapa masalah kesihatan seperti kadar glukosa dalam darah, bertindak sebagai anti-kulat dan tinggi sumber antioksida.

Bagaimanapun, menerusi satu kajian yang dijalankan seorang pensyarah dan penyelidik di Pusat (H-care), Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. You Yee Xing berjaya menemui manfaat baharu dalam ulam raja yang mana ia berpotensi untuk mencegah masalah nyanyuk dan kecelaruan kognitif.

Hasil kajian itu, beliau menghasilkan suplemen ulam raja yang kaya dengan kandungan antioksidan dan polifenol.

Usaha kerasnya dalam menjalankan penyelidikan mengkaji keberkesanan suplemen ulam raja selama 12 minggu ke atas fungsi kognitif dalam kalangan warga emas membolehkannya mendapat Anugerah Emas Kedoktoran daripada UKM sewaktu konvokesyen ke-49 universiti itu November lalu.

Kata Dr. Yee Xing, ulam raja merupakan ulam yang paling banyak dimakan oleh subjek kajian beliau.

DR. YEE XING

Menerusi kajian itu, jelasnya, ia mengandungi polifenol dan antioksidan yang paling tinggi berbanding ulam lain.

“Selain itu, ia juga mempunyai banyak kelebihan seperti bahan awet muda, berpotensi menurunkan paras gula dalam darah dan tekanan darah serta mengurangkan risiko mendapat kanser.

“Bermula daripada penghasilan suplemen hingga tamatnya kajian klinikal yang mengambil masa satu tahun setengah, saya dapati, suplemen ulam raja mengandungi kandungan quercetin dan quercitrin.

“Ia sebatian untuk mencegah kecelaruan kognitif lebih tinggi berbanding ekstrak Polygonum minus atau daun kesum bagi kajian sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, suplemen ulam raja berpotensi untuk bertindak sebagai agen pencegahan kecelaruan kognitif dengan menurunkan aras peroksida lipid dan meningkatkan aras serum glutation.

Seterusnya jelas Dr. Yee Xing, ia dapat mengaktifkan otak di bahagian dorsolateral prefrontal cortex bagi meningkatkan fungsi kognitif global, ingatan kerja, mengurangkan ketegangan dan gangguan emosi total dalam kalangan warga emas yang mempunyai magnetic resonance imaging selepas 12 minggu.

DR. YEE XING melibatkan 38 orang warga emas yang mempunyai masalah kecelaruan kognitif ringan di dalam kajiannya.

Begitupun terangnya, penemuan itu bukanlah untuk merawat masalah nyanyuk, sebaliknya berpotensi mencegah masalah nyanyuk dan kecelaruan kognitif.

Dalam kajian tersebut, seramai 48 warga emas berusia 60 tahun dan ke atas yang mempunyai masalah kecelaruan kognitif ringan serta memenuhi kriteria di Lembah Klang diambil sebagai sukarelawan, yang mana sebahagian daripada mereka mengambil suplemen itu untuk tempoh 12 minggu.

Kesemua mereka bagaimanapun perlu menjalani ujian lipid serum, gula dalam darah, buah pinggang dan fungsi hati sebelum dan selepas ujian dilakukan bagi memastikan suplemen tersebut selamat dimakan.

Hasilnya, mereka yang mengambil suplemen itu menunjukkan peningkatan fungsi otak yang ketara berbanding yang lain.

Mengulas lanjut mengenai masalah nyanyuk dalam kalangan masyarakat di negara ini, ujar Dr. Yee Xing, menurut kajian lepas melaporkan, masalah demensia dalam kalangan warga emas berumur 60 tahun dan ke atas didapati sebanyak 8.5 peratus.

Dalam pada itu, beliau menyarankan agar masyarakat memakan ulam secara segar disebabkan zat ulam akan dihilangkan melalui proses penghasilan suplemen.

“Bahkan dengan pengambilan ulam sebanyak satu cawan besar setiap hari dalam tempoh jangka panjang berpotensi mencegah masalah kecelaruan kognitif,” jelasnya.

Keberhasilan kajian itu membolehkan beliu memfailkan paten bagi suplemen itu. Dia juga sedang mengusahakan proses pengkomersilan daripada hasil kajian ke pasaran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI